Anak anjing mati dipercayai diserang anak panah

Anak anjing mati dipercayai diserang anak panah

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan tidak berperikemanusiaan apabila seekor anjing jinak sengaja ditembak dengan anak panah hingga mati.

Dalam kejadian kekejaman terbaru dilaporkan berlaku di Ladang Malaya, Selama, Perak itu, panah berkenaan dilihat menembusi tubuh anjing bernama Kutty itu.

Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) dalam kenyataannya tadi, mengecam keras insiden kekejaman haiwan yang berlaku pada Ahad lalu.

“Berdasarkan maklumat, seekor anjing dikenali sebagai Kutty diserang dengan menggunakan anak panah oleh seorang pekerja.

“Kutty mengalami kecederaan parah dan akhirnya mati akibat tindakan kejam ini. Tindakan kejam seperti ini sama sekali tidak boleh dibiarkan dan mencabar prinsip asas kemanusiaan,” katany SAFM.

Susulan itu tindakan pantas dan tegas mesti diambil untuk menjamin keadilan terlaksana sepenuhnya.

“Kejadian ini jelas melanggar undang-undang mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015. SAFM menyeru mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberikan keterangan dan membantu siasatan.

“Laporan rasmi boleh dibuat di balai polis terdekat, manakala aduan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga diperlukan untuk memulakan siasatan formal terhadap pelaku.

“Keterangan saksi adalah bukti penting dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab. SAFM turut menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar DVS untuk melancarkan siasatan menyeluruh terhadap kes ini,” katanya.

SAFM turut menuntut penguatkuasaan penuh Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap pelaku kekejaman haiwan.

“Seksyen ini menyatakan bahawa mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Kekejaman terhadap haiwan masih berleluasa walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan. Situasi ini berpunca daripada kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang, yang sering kali membolehkan pesalah terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Sudah tiba masanya untuk memperkukuh undang-undang serta memastikan penguatkuasaan yang lebih tegas dan berkesan. SAFM menyeru seluruh masyarakat untuk bersatu dalam menegakkan hak haiwan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pelaku,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top