Serdang: Lebih 353,400 unit barangan kes dilupuskan dengan keseluruhan pelupusan dianggarkan bernilai RM1.8 juta di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pelupusan itu barangan rampasan sejak 2016 hingga tahun lalu membabitkan 336 kertas siasatan pelbagai kes seperti kontraban dan perjudian online yang sudah selesai perbicaraan di mahkamah.
“Barangan yang dilupuskan membabitkan 352,515 kotak rokok, lapan kereta, laptop (168), tablet (59), modem dan router (32), mesin simulator (14) dan barangan lain yang mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah.
“Semua barang kes adalah hasil rampasan daripada operasi yang dijalankan di bawah pentadbiran IPD Serdang dan sudah mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis melaksanakan pelupusan barang kes mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207 dan Seksyen 407 (A) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Katanya, pihaknya bertanggungjawab memastikan setiap barangan kes dikendalikan dengan amanah, telus dan mengikut peraturan ditetapkan.
“Proses pelupusan ini adalah langkah akhir dalam memastikan barang rampasan tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat atau disalahgunakan.
“Dengan pelaksanaan pelupusan barangan kes ini, secara tidak langsung dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dan mengatasi masalah ruang simpanan eksibit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




