'Memang betul akan rombak Exco tapi…' – Ab Rauf

'Memang betul akan rombak Exco tapi…' – Ab Rauf

am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan akan melakukan rombakan Exco kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya, rombakan itu hanya membabitkan pertukaran portfolio tanpa ada individu yang digugurkan.

“Saya setuju, memang betul akan rombak Exco, tapi saya tidak rombak orang (sebaliknya) saya (hanya) rombak portfolio. Tiada orang (lantikan) baharu, Exco akan kekal, cuma ‘title’ sahaja yang bertukar.

“Saya nak beritahu, prestasi semua Exco Melaka berada pada tahap yang cukup baik dan saya sangat berpuas hati dengan semua penjawat jawatan itu yang menyokong kepemimpinan saya.

“Tiada sebab (untuk tukar Exco), cuma saya tidak mahu membebankan seseorang Exco dengan portfolio yang banyak. Ada dalam kalangan mereka buat kerja berat, jadi saya hendak selaraskan dalam portfolio itu dengan menggabungkan tugas bersama Exco yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Ab Rauf meminta masyarakat supaya tidak mendengar berita yang tidak sahih mengenai rombakan berkenaan.

“Kapal ini tengah sedang berlayar dengan baik, jangan cuba nak bocorkannya.

“Saya memandang bahawa pentadbiran ini menuju ke arah usaha menyentuh hati rakyat. Justeru, jangan percaya kepada khabar angin daripada pihak tertentu termasuk media yang membuat pelbagai andaian mengenai perkara itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top