Buluh lemang 500 rumpun

Buluh lemang 500 rumpun

asyikin.mat@hmetro.com.my

KEWUJUDAN kawasan berpaya di ladang pertanian miliknya memberi idea kepada usahawan pertanian dari Muar, Johor ini untuk meneroka tanaman buluh lemang.

Mohd Radzi Amin, 46, berkata, dia menanam pokok buluh lemang itu dalam keluasan 0.4 hektar secara berpusat di ladangnya di Parit Jawa sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, lemang adalah makanan tradisi masyarakat luar Johor dan menerusi perkahwinan campur dari negeri lain seperti Perak dan Pahang menyebabkan penduduk Johor turut meminati makanan tradisional berkenaan.

“Mereka turut membakar lemang pada musim perayaan, tetapi berhadapan kesukaran mendapatkan bekalan buluh lemang.

“Ini menjadi pencetus idea saya kepada menanam pokok berkenaan yang kini jumlahnya sebanyak 500 rumpun,” katanya.

Katanya, satu batang buluh lemang ada lapan ruas dan setiap satu ruas harganya RM2.

“Satu rumpun dianggarkan terdapat 100 batang pokok buluh lemang.

“Tanaman ini boleh dituai dalam tempoh dua tahun lagi bagi memenuhi permintaan masyarakat sekitar Muar.

“Oleh kerana bekalan ini dari Muar, maka saya boleh menjualnya pada harga rendah berbanding buluh lemang dari negeri lain.

“Secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan beban pengguna,” katanya.

Mohd Radzi berkata, pokok buluh lemang sesuai ditanam di kawasan berpaya kerana ia jenis tanaman lasak dan penjagaan sangat minimum.

“Penggunaan baja adalah ketika permulaan tanaman dan disusuli pada setiap enam bulan sekali.

“Kerja menebang pokok buluh lemang pula hanya dilakukan setahun sekali iaitu ketika musim perayaan,” katanya.

Jelasnya, dia mendapatkan benih buluh lemang dari Taiping, Perak kerana di negeri itu terdapat ramai pembekal benih berkenaan.

Katanya, terdapat tiga jenis benih buluh lemang iaitu menggunakan biji yang disemai, keratan dan umbi (rebung).

Menurutnya, walaupun ketika ini dia menjadi penanam buluh lemang antara pertama yang terbesar di daerah Muar, tetapi turut mengajar usahawan pertanian lain untuk meneroka tanaman itu kerana permintaannya tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top