Penyakit kayap atau dikenali sebagai ‘shingles’, sering dianggap sebagai satu penyakit kulit biasa.
Namun sebenarnya, ia boleh menjejaskan kualiti hidup dan mengganggu aktiviti harian seperti memakai baju, berjalan, serta menyebabkan gangguan tidur1,2.
Kajian mendapati, satu daripada tiga individu berisiko dijangkiti penyakit kayap sepanjang hayat1, dengan 90 peratus individu berusia 50 tahun ke atas sudah membawa virus yang menyebabkan penyakit berkenaan3.
Hakikatnya, masih ramai yang tidak menyedari bahawa mereka berisiko dijangkiti penyakit kulit ini.
Virus penyebab kayap
Kayap terjadi disebabkan oleh virus sama yang menyebabkan cacar air (chickenpox) iaitu virus varicella zoster1.
Walaupun seseorang individu itu sudah lama sembuh daripada jangkitan cacar air, virus yang menyebabkan jangkitan ini akan kekal dorman dalam sistem saraf individu tersebut4.
Seiring dengan pertambahan usia, daya tahan sistem imun manusia turut berkurang, sekali gus membuka peluang bagi virus ini untuk aktif semula5.
Simptom utama kayap adalah pembentukan ruam melepuh yang menyakitkan, berbentuk jalur yang melilit di sebelah kiri atau kanan badan mengikut laluan saraf6.
Ia juga boleh muncul di bahagian leher, muka dan kadangkala di sekitar salah satu mata6.
Selain itu, jangkitan kayap juga boleh menyebabkan komplikasi seperti ‘post-herpetic neuralgia’ (PHN), iaitu kesakitan saraf yang boleh berlarutan sehingga beberapa tahun7.
Golongan yang lebih berusia terutamanya berisiko mengalami komplikasi PHN yang lebih serius dan berlarutan8.
Rasa sakit seperti tercucuk paku, kejutan elektrik yang menyentap atau kulit yang terbakar mungkin dirasai mereka yang dijangkiti kayap1.
Kayap juga boleh menyebabkan parut kekal, sakit kepala, keletihan dan gangguan penglihatan jika ia menyerang kawasan sekitar mata, serta kelemahan atau kelumpuhan pada bahagian saraf yang terjejas6.
Cegah diri dijangkiti kayap
Walaupun kayap boleh menimpa sesiapa sahaja yang pernah dijangkiti cacar air, adalah penting untuk mendapatkan nasihat daripada pakar sekiranya anda mengalami gejala kayap, bagi mendapatkan rawatan perubatan yang bersesuaian.
Dengan langkah pencegahan awal, risiko komplikasi dan kesakitan yang melampau juga dapat dielakkan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyakit kayap dan nasihat umum bagi melegakan simptom kayap, anda juga boleh melayari laman sesawang https://gsk.me/stopshinglesmy.
Penafian
Simptom kayap bagi setiap individu mungkin berbeza. Artikel ini mengandungi kenyataan dan penerangan yang unik kepada individu tertentu dan mungkin tidak mewakili pengalaman mana-mana pesakit kayap.
Maklumat yang ditulis adalah bersifat umum dan tidak menggantikan nasihat daripada profesional kesihatan. Bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terperinci, sentiasa dapatkan nasihat kesihatan daripada profesional perubatan bertauliah.
NP-MY-HZU-ADVR-240003 12/24. Artikel pendidikan ini dibawakan kepada anda oleh GSK.
Rujukan:
1. Harpaz R, Ortega-Sanchez IR, Seward JF; Advisory Committee on Immunization Practices (ACIP), Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Prevention of herpes zoster: recommendations of the Advisory Committee on Immunization Practices (ACIP). MMWR Recomm Rep. 2008 Jun;57(RR-5):1-30.
2. Yawn B;Neurology;2013;81;1-209.
3. Kilgore PE, et al. J Med Virol. 2003;70(suppl1):S111-S8.
4. Johnson RW et al. Herpes zoster epidemiology, management, and disease and economic burden in Europe: a multidisciplinary perspective. Therapeutic Advances in Vaccines. 2015;3(4):109-120.
5. Bowsher D. Acute Herpes Zoster and Postherpetic Neuralgia: effects of acyclovir and outcome of treatment with amitriptyline. British Journal of General Practice; 1992;42;244-246.
6. Mayo Clinic. Shingles Symptoms and Causes, January 2019. Available at: http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/shingles/symptoms-causes/syc-20353054?p=1, Accessed July 2022.
7. Johnson RW;Drugs Aging;2008;25;991-1006.
8. Bricout H et al. “Herpes zoster-associated mortality in Europe: a systematic review.” BMC Public Health 15:466 (2015). Available at: https://doi.org/10.1186/s12889-015-1753-y Last accessed: February 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




