am@hmetro.com.my
Sabak Bernam: Misteri kehilangan wanita orang kurang upaya (OKU) terungkai selepas mayatnya ditemui di kawasan semak di Kilometer 35-36 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, hari ini.
Mayat Ruzina Mohd Razali, 48, polis yang melakukan rondaan pada 9.15 pagi, dengan dua beg mengandungi baju dan selipar getah berada di sebelahnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Khalid Mohamad berkata, turut ditemui barang berharga lain seperti dua gelang emas dan dompet.
“Pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa tidak menjumpai kesan luka yang boleh dikaitkan dengan kemalangan jalan raya atau jenayah,” katanya ketika dihubungi.
Khalid berkata, temubual ringkas dengan suami mangsa berusia 81 tahun mendapati isterinya adalah pesakit OKU mental yang mendapatkan rawatan berkala di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
“Mangsa sebelum ini menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung di Perak namun tidak mempunyai saudara-mara di sana,” katanya.
Menurutnya, suami wanita itu menyedari kehilangannya pada 5 pagi dan anak lelakinya membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam kira-kira tiga jam kemudian.
“Bedah siasat dijalankan ke atas mayat wanita itu dan mendapati punca kematiannya akibat serangan jantung. Kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




