am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Tiada sebarang perhimpunan yang dibenarkan di kawasan Menara Kinabalu selain daripada Program ‘Karnival Ria Kinabalu’ anjuran Unit Pegawai Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Kerajaan Negeri Sabah.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, polis akan tetap mengerahkan penugasan di kawasan berkenaan bagi menjamin keselamatan orang awam.
Katanya, ia berdasarkan kepada maklumat terdapat kumpulan orang awam yang berhajat untuk mengadakan perhimpunan di kawasan berkenaan.
“Perhimpunan ini kita tolak berdasarkan keadaan yang tidak memenuhi syarat untuk diadakan di kawasan berkenaan.
“Ia bagi memastikan keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan pengunjung yang menghadiri karnival berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, pihaknya percaya, perhimpunan tanpa kebenaran itu akan menimbulkan suasana tidak tenteram khususnya kepada pengunjung kanak-kanak, ibu dan warga emas di karnival berkenaan.
“Kita akan mengadakan beberapa sekatan supaya kumpulan ini tidak menceroboh ke kawasan berkenaan.
“Kita bimbang, apabila kumpulan ini berkumpul dan ada kumpulan lain yang melakukan provokasi, ia boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



