am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid, berkongsi pengalaman mendebarkan apabila kapal terbang dinaiki bersama delegasi Johor dari Bahrin terpaksa berpatah balik susulan masalah teknikal.
Beliau yang memuat naik pengalamannya itu di akaun Facebook berkata, insiden itu berlaku selepas pesawat dinaiki sudah berada di udara hampir tiga jam setengah sebelum ia terpaksa berpatah balik.
Turut bersama dalam delegasi kerajaan Johor itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) Datuk Dr Nooh Gadut serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail.
“Penerbangan kami dari Bahrin (transit) terpaksa berpatah balik akibat masalah teknikal pesawat setelah hampir tiga jam setengah di udara,” katanya menerusi muat naik di akaun Facebook, hari ini.
Muat naik Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerah itu mendapat perhatian ramai termasuk Ahli Parlimen dan Adun Johor yang mendoakan keselamatan kepada delegasi dan tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Mohd Fared kemudian memaklumkan perkembangan terkini apabila pesawat dinaiki bersama delegasi Johor selamat mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, lima jam lalu.
“Saya bersama Datuk Dr Nooh Gadot dan Khairin-Nisa serta delegasi Johor selamat mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain.
“Penerbangan kami selanjutnya dijadualkan jam 7.30 pagi waktu Bahrain (12.30 tengah hari waktu Malaysia).
“Allahuakhbar, berderau juga tadi masa kapten buat pengumuman di udara, namun tenang kaptennya siap minta maaf atas kesulitan.
“Syukur semuanya baik-baik belaka. Semua penumpang diberikan kupon makanan oleh pihak penerbangan, tanda maaf dan hospitaliti mereka atas isu teknikal yang berlaku,” katanya.
Mohd Fared bersama delegasi Johor membuat lawatan kerja ke Turkiye dan Jordan, sejak 23 Disember lalu.
Selain bertemu pelajar Johor yang menuntut di kedua-dua negara terbabit , Mohd Fared dan delegasi meninjau persiapan akhir penghantaran bantuan Misi Johor-Palestin bernilai RM2 juta kepada rakyat Palestin di Easy Log Air Cargo, Alqastal-Almushatta, Amman, Jordan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




