nfazlina@nstp.com.my
Rantau Panjang: Operasi rintis Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang yang bermula hari ini menguji stamina pasukan kerana pintu masuk itu menjadi ‘litar lumba’ aktiviti penyeludupan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata pintu masuk itu bukan sahaja sibuk dengan urusan rasmi sebaliknya menjadi ‘litar lumba’ untuk mereka yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan.
Justeru katanya, semua pegawai perlu bersedia dan jangan membiarkan mereka ini lebih laju dalam operasi ini.
“Kompleks ICQS Rantau Panjang dipilih sebagai lokasi rintis kerana ia adalah antara pintu masuk utama yang strategik antara Malaysia dan Thailand.
“Pelaksanaan pengoperasian rintis AKPS di sini adalah langkah pertama bagi AKPS beroperasi serta mengenalpasti kebaikan dan kelemahan yang akan diperbaiki sebelum pelaksanaan pengoperasian diperluaskan ke 21 lokasi pada 1 Februari depan.
“Pengoperasian rintis ini adalah salah satu inisiatif persediaan pengoperasian utama AKPS kelak di samping bertujuan untuk menangani isu-isu kritikal seperti ini secara lebih tegas dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengoperasian Rintis AKPS di ICQS Rantau Panjang yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut katanya, AKPS bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan
kawalan dan pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif di pintu masuk darat, laut dan udara termasuk pelabuhan.
Katanya, sebagai sebuah agensi tunggal yang diwujudkan untuk menyelaraskan semua urusan pintu masuk sempadan negara, AKPS adalah cerminan komitmen Kerajaan Madani di bawah kluster Kemakmuran untuk memastikan integriti dan keberkesanan kawalan pintu masuk sempadan berada pada tahap tertinggi.
“Justeru, dengan pelaksanaan pengoperasian rintis ini, kita bukan sahaja memenuhi aspirasi Jemaah Menteri, tetapi juga membawa perubahan yang signifikan kepada sistem kawalan pintu masuk sempadan negara.
“Program operasi rintis ini juga langkah strategik kepada sebahagian daripada usaha kita bersama-sama untuk merealisasikan amanah Perdana Menteri iaitu perkasakan kawalan keselamatan sempadan, fasiliti pengembara, fasiliti pedagang, perkukuh integriti dan pertingkat hasil negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




