am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: “Arwah abang pernah kemalangan 39 tahun lalu, yang menyebabkannya koma dan tempang kaki kiri, sejak itu dia seorang yang patuh undang-undang,” kata Mohd Faizal Nasruddin, 40.
Mohd Faizal adalah adik bongsu kepada Zainal Abidin, 57, yang maut selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jeram, Kuala Selangor, semalam.
Dalam kejadian jam 6.11 petang itu, Allahyarham yang bertugas sebagai pembantu perubatan Klinik Kesihatan (KK) Kapar, Klang meninggal dunia di lokasi akibat parah.
Sementara, pemandu SUV Perodua Ativa yang juga lelaki berusia 49 tahun turut cedera.
Difahamkan, mangsa yang berkhidmat selama hampir 35 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Bendahara dengan menunggang motosikal Honda Wave.
Berkongsi detik pilu itu, Mohd Faizal yang pergi ke tempat kejadian selepas dihubungi rakan memaklumkan melihat anggota bomba mengeluarkan jenazah abang sulungnya dari parit.
Katanya, rasa sedih itu tidak dapat digambarkan apabila kehilangan seorang abang yang baik dan bertanggungjawab ke atas keluarga.
“Kali terakhir kami bertemu arwah pada 25 Disember lalu semasa kenduri aqiqah anak saya.
“Dia tidak menunjukkan sebarang petanda ganjil atau aneh kecuali mukanya berseri-seri semasa bergambar.
“Arwah amat berhati-hati menunggang motosikal sehinggalah kemalangan maut menimpanya,” katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Tanjong Karang, di sini, hari ini.
Katanya, dia sempat bertemu pemandu SUV yang berada dalam ambulans, dan tidak boleh terima reaksi lelaki itu yang kelihatan bersahaja serta enggan meminta maaf,
Mohd Faizal berkata, dia sekeluarga tidak dapat menerima kenyataan, lebih-lebih video kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) berhubung nahas itu tular di laman sosial.
“Tetapi syukur rakaman CCTV dan dascham ini membantu kami untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.
“Diharapkan perkara ini berjalan dengan telus tanpa sebarang dwi standard,” katanya.
Jenazah Zainal Abidin disolatkan di Surau Nurul Amin dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Karang, jam 3.30 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd

