redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuantan: “Walaupun mat motor (motosikal), saya seorang ayah.. jadi hati ini mudah tersentuh bila tengok anak yatim,” kata Mohd Nur Hisam Hashim.
Mohd Nur Hisam, 47, mendapat perhatian selepas tular satu video di TikTok menunjukkannya menangis sewaktu bersalaman dan mencium pipi anak yatim ditemui ketika singgah menyantuni penghuni di sebuah rumah kebajikan.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen turut tersentuh kerana sebak melihat keikhlasan Mohd Nur Hisam dan rakannya menyantuni penghuni di rumah anak yatim berkenaan.
Berkongsi kisahnya, Mohd Nur Hisam berkata, video itu dirakam seorang rakam tanpa disedarinya ketika berkunjung ke rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, di sini pada 28 Disember lalu yang menjadi salah satu aktiviti dalam konvoi amal bermotosikal bersama ahli Lanun Highway Racing (LHR).
Pengasas LHR itu berkata, pada awalnya dia dapat mengawal perasaan sedih namun tidak dapat menahan air mata daripada mengalir selepas melihat riak wajah setiap penghuni yang bersalaman dengannya.
“Saya yang pergi salam mereka (anak yatim) sebelum rakan lain ikut.
“Mulanya okay lagi tapi bila salam penghuni yang keempat, air mata saya sudah tak tahan dan mengalir laju.
“Sedih sebab mengenangkan nasib mereka yang sudah tak ada ibu bapa dan terasa macam anak saya. Lagipun, saya seorang ayah jadi faham perasaan mereka walaupun saya masih ada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sementara itu, Pengerusi LHR, Muhammad Ghazali Abdul Rahim, 34, berkata, seramai 130 ahli mengikuti konvoi amal dari Padang Serai, Kulim, Kedah itu yang diadakan bermula 26 hingga 28 Disember lalu sempena kedatangan Tahun Baharu.
Katanya, kunjungan ke rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman adalah salah satu aktiviti yang diadakan pada hari terakhir sebelum ahli konvoi bergerak pulang.
“Konvoi amal itu adalah acara tahunan yang mana tahun lalu, kita ke Johor dan kali ini ke Kuantan, Pahang kerana nak merasa suasana berkonvoi melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula.
“Kunjungan ke rumah anak yatim itu bertujuan menziarahi penghuni untuk tanya khabar dan beri kegembiraan dengan menghulur sedikit sumbangan.
“Nampak mereka terharu dengan kedatangan kami kerana difahamkan belum ada konvoi bermotosikal datang sebelum ini dan selain rumah anak yatim, kita sempat juga singgah ke Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk bertemu penghuni serta buat gotong royong membersihkan kawasan berkenaan,” katanya.
Muhammad Ghazali berkata, dia tidak menyangka program diadakan itu akan mendapat perhatian ramai selepas perkongsian video di TikTok.
“Alhamdulillah, saya ada baca komen dan nampak banyak komen positif daripada netizen.
“Semoga usaha kami itu dapat membersihkan imej penunggang motosikal di mata masyarakat kerana hakikatnya, bukan semua geng macam kami nakal atau jahat.
“Ramai yang berhati mulia sebenarnya dan membantu pengguna lebuh raya misalnya ketika kenderaan mereka rosak di tengah jalan.
“Jadi diharap apa kami lakukan ini menjadi ikutan kumpulan motosikal lain,” katanya yang merancang mengadakan lebih banyak aktiviti bermanfaat bersama ahli pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



