'Kami musykil gandar ada masalah walaupun usianya baru setahun' – Puspakom

'Kami musykil gandar ada masalah walaupun usianya baru setahun' – Puspakom

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sudah memuktamadkan laporan siasatan insiden tayar kenderaan tercabut sehingga mengorbankan tujuh nyawa di Melaka, bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya sudah menyerahkan hasil pemeriksaan itu kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) hari ini untuk tindakan susulan.

“Laporan hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan itu dan tayar yang tertanggal itu tidak dapat diperiksa kerana Puspakom tidak jumpa dan menerima tayar terbabit.

“Laporan yang Puspakom hantar kepada Miros itu mengikut siasatan kami, punca berlaku kejadian tayar tertanggal daripada gandarnya.

“Gandar itu ada masalah, kami musykil sebab usianya baru setahun. Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Puspakom terus komited untuk meningkatkan integriti dalam sistem pemeriksaan kenderaan di Malaysia demi keselamatan semua di atas jalan raya.

“Puspakom akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan usaha-usaha pemantauan dan penguatkuasaan ini dapat diteruskan dengan lebih berkesan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar nahas lima kenderaan yang mengorbankan tujuh nyawa di Melaka, bulan lalu.

Dalam perkembangan lain katanya, kira-kira lapan peratus kenderaan berat gagal pemeriksaan di Puspakom setiap tahun daripada purata 2.8 juta pemeriksaan dilakukan.

“Kira-kira purata 220,000 kenderaan (8 peratus) kenderaan berat gagal pemeriksaan setiap tahun.

“Brek adalah antara masalah besar dan utama, manakala kedua ialah keadaan tayar serta ketiga adalah sistem kenderaan itu sendiri.

“Bagi keadaan tayar ia tidak semestinya tayar celup sebab apabila kenderaan itu digunakan berkali-kali, tayar itu akan mempunyai masalah yang sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top