am@hmetro.com.my
Penyanyi, Elliza Razak memulakan perjalanan seni sejak menyertai sebuah program realiti pada tahun 2005.
Mendapat jolokan artis versatil kerana berbakat dalam pelbagai cabang seni.
Elliza turut mencipta nama dalam dunia lakonan, pentas teater, dan sebagai pelakon suara untuk rancangan Disney, drama Korea, kartun, serta drama radio.
Kini tampil dengan lagu single terbaharunya berjudul Urai. Lagu berentak balada ini adalah kerjasama pertamanya bersama Alternate Records dan menampilkan sentuhan tiga komposer terkenal seperti Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman.
Bersandarkan melodi yang menyentuh perasaan dan lirik puitis yang penuh makna. Elliza berharap lagu itu dapat diterima peminat muzik tanah air sekali gus membuktikan kehebatannya dalam menyampaikan emosi mendalam melalui muzik.
Mengenai lagu Urai pula, ia mengisahkan perjalanan cinta yang berakhir secara tak terduga, membawa tema kehilangan dan perjuangan menerima kenyataan pahit.
“Lagu ini membawa emosi yang kuat tentang perasaan sedih, kecewa, dan akhirnya keinginan untuk melepaskan diri daripada belenggu kesakitan cinta yang telah berakhir.
“Liriknya sangat puitis, dengan penggunaan metafora seperti ‘daun cinta’ dan ‘bunga cinta’ untuk menggambarkan perjalanan emosi dan realiti pahit sebuah hubungan yang terlerai.
“Saya percaya ramai dapat merasakan hubungannya dengan pengalaman mereka sendiri. Dengarkan dan rasai kejujuran dalam setiap bait lagu ini,” katanya.
Menurut Elliza lagi, cabaran terbesar dalam menghasilkan Urai adalah dengan menyampaikan emosi mendalam tanpa kehilangan keaslian suaranya.
“Lagu ini benar-benar menguji vokal saya.
“Ia membawa elemen unik dengan penyusunan melodi yang berbeza daripada single-single saya sebelum ini yang lebih catchy. Lagu ini memerlukan saya untuk benar-benar mendalami lirik dan melodi supaya mesej dapat sampai kepada pendengar. ” katanya.
Bercakap mengenai kerjasama bersama tiga komposer terbabit pula Elliza menyifatkan ia pengalaman yang cukup berharga,
“Saya adalah peminat Omar K sejak lama dan sangat mengagumi karya Iqie Hugh serta pengalaman Syazriq dalam industri muzik.
“Mereka sangat profesional dan memahami visi saya untuk lagu ini,” tambah Elliza.
Iqie Hugh turut memuji dedikasi Elliza sepanjang proses rakaman lagu terbabit.
“Dia (Elliza) seorang artis yang berbakat, karismatik, dan sangat profesional. Suara lunaknya memberikan dimensi istimewa kepada Urai.” katanya.
Lebih istimewa lagu Urai turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama Akasia Akad Yang Terlindung, yang bakal bersiaran mulai 14 Januari di TV3.
Rasai kejujuran dan emosi yang dibawakan oleh Elliza Razak. Jangan ketinggalan mendengarkan Urai yang kini boleh didengar melalui iTunes atau aplikasi penstriman seperti Spotify dan YouTube Music.
© New Straits Times Press (M) Bhd




