Bangunkan penyelesaian 5G

Bangunkan penyelesaian 5G

Kuala Lumpur: Maxis dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) akan bekerjasama dalam pembangunan penyelesaian 5G, dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian dan keupayaan teknologi Maxis serta kepakaran UTAR sebagai institusi pengajian tinggi ternama.

Kedua-dua organisasi itu akan meneroka peluang berdaya maju secara komersial berkaitan penggunaan penyelesaian 5G, dengan memfokuskan inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Di samping kedua-dua bidang ini, penyelesaian bersama seperti keselamatan siber, teknologi hijau dan inisiatif kampus pintar juga boleh dibangunkan dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian Maxis.

Dalam bidang penjagaan kesihatan, penyelesaian didayakan 5G yang mungkin berpotensi untuk diterokai termasuk pembedahan jarak jauh (tele-surgeri), tele-perubatan canggih, perundingan jarak jauh dan pemantauan kesihatan masa nyata.

Bagi pendidikan, penyelesaian mungkin dibangunkan untuk memudahkan dan meningkatkan pengalaman pembelajaran melalui persekitaran yang imersif dan penyampaian kandungan interaktif.

Sebagai contoh, aplikasi realiti terimbuh (AR) didayakan 5G membolehkan akses jauh dan penyertaan dalam kuliah sambil memperkaya pengalaman pembelajaran melalui kandungan multimedia yang disepadukan ke dalam persekitaran dunia sebenar.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine berkata, Maxis berbangga dapat bekerjasama dengan rakan yang berfikiran sama seperti UTAR sambil bersama-sama meneroka dunia yang penuh dengan peluang didayakan oleh teknologi 5G.

“Penjagaan kesihatan dan pendidikan adalah bidang kritikal yang memerlukan idea sedia masa hadapan dan kerjasama industri-akademia seperti ini akan membantu mempercepatkan inovasi.

“Melalui Maxis Business, kami berharap dapat membolehkan penyelesaian 5G yang mampu meningkatkan persekitaran penyampaian penjagaan kesihatan dan pendidikan, menjadikannya lebih dinamik, mudah diakses dan diperibadikan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kerjasama ini dibina atas inisiatif terdahulu oleh Maxis Business, bahagian B2B Maxis, untuk memacu penerimagunaan penyelesaian 5G dan 5G-Advanced dalam kalangan perniagaan di Malaysia.

“Maxis Business kekal komited untuk menjadi rakan niaga digital pilihan melalui penyelesaian ketersambungan dan ketersambungan tambahan hujung ke hujung,” katanya.

Sebelum ini, UTAR telah memilih Maxis pada 2019 untuk menyediakan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi kepada dua kampus di Sungai Long dan Kampar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top