Amanah Raya Trustees Berhad bayar zakat perniagaan RM1.67 juta

Amanah Raya Trustees Berhad bayar zakat perniagaan RM1.67 juta

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Amanah Raya Trustees Berhad meneruskan komitmen membayar zakat perniagaan bernilai RM1.67 juta kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam usaha menyantuni golongan memerlukan.

Pengerusinya, Datuk Prof Dr Noor Inayah Ya’akub berkata, pembayaran zakat itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memenuhi kewajipan zakat dan memberikan manfaat kepada golongan asnaf memerlukan.

“Ini tahun ketiga berturut-turut Amanah Raya Trustees Berhad membayar zakat kepada PPZ-MAIWP yang mencecah lebih RM3 juta dengan timbal balik wakalah akan diperolehi semula dan boleh dipanjangkan manfaatnya kepada anak asnaf, pelajar Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) dan sesiapa saja yang layak untuk terima sumbangan zakat ini.

“Ada jawatankuasa Baitulmal di peringkat MAIWP akan selaraskan dan pengagihan akan diberikan mengikut hukum syarak termasuk kafalah, had kifayah dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang perlu diperhalusi.

“UCMI salah satu penerima manfaat, jadi sama ada wakalah itu akan diberikan untuk yuran pengajian, yuran kediaman, wang saku dan pembelian beberapa alat berkaitan dengan pembelajaran bergantung kepada mesyuarat diputuskan pihak MAIWP dan UCMI,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Perasmian Kompleks Akademik UCMI di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sementara itu, Noor Inayah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor UCMI berkata, sejak penubuhannya pada 1993, UCMI berjaya melahirkan lebih 10,000 graduan termasuk asnaf dan kini dalam proses menaik taraf ke universiti penuh pada tahun ini.

“Sebagai sebuah institusi milik penuh MAIWP, UCMI dengan bantuan MAIWP telah menyantuni keluarga asnaf dan memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak asnaf ini.

“Hasilnya, graduan dari keluarga asnaf ini berjaya mendapat pekerjaan yang baik dan menaik taraf kehidupan mereka seterusnya menyumbang kepada peningkatan jumlah pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

“Dengan adanya Kompleks Akademik UCMI yang baharu ini, UCMI terus memperkukuh komitmen dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi yang mampu menghasilkan graduan yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran global,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top