khairil.ashraf@hmetro.com.my
Sepang: Masyarakat perlu memberi kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat kes individu cuba menyebar ajaran Kristian di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menyerahkan kepada PDRM untuk melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu.
“Kenyataan telah saya keluarkan dan saya telah sebut supaya kıta berikan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan yang terperinci,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan ke-3 Pengelola Jemaah Haji 1446H/2025M (Karnival PJH), di sini, hari ini.
Sebelum ini tular di aplikasi TikTok mengenai tiga lelaki warga asing didakwa menyebarkan ajaran Kristian di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, dengan polis menerima laporan perkara itu pada 10.19 malam, Isnin lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




