'Najib tumpu Titah Adendum, tiada arahan mohon pengampunan baharu' – Shafee

'Najib tumpu Titah Adendum, tiada arahan mohon pengampunan baharu' – Shafee

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak mengesahkan belum menerima sebarang arahan berhubung permohonan pengampunan baharu yang akan difailkan bekas Perdana Menteri itu.

Perkembangan itu dimaklumkan peguam kanan mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika ditemui selepas sesi Townhall Rakyat Mencari Kebenaran bertajuk Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan di sini, hari ini.

Muhammad Shafee berkata, ketetapan itu mengambil kira prosiding rayuan difailkan Najib yang akan didengar di Mahkamah Rayuan, Isnin ini.

Beliau berkata, pasukan pembelaan Najib juga akan meneliti keputusan prosiding rayuan bagi semakan kehakiman mengenai Titah Adendum, sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan.

“Setakat ini kita (pasukan pembelaan Najib) belum menerima sebarang arahan (untuk failkan permohonan pengampunan baharu).

“Ini kerana, kita sedang mengemukakan rayuan berkaitan Titah Adendum yang menjadi sebahagian daripada komponen pengampunan diraja kepada Najib.

“Rayuan ini adalah rentetan kepada permohonan pengampunan (terdahulu) Najib. Jadi kita tak boleh failkan permohonan baharu kerana dikhuatiri akan dituduh melakukan prosiding berganda yang akan menjejaskan permohonan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Peguam Negara supaya Najib memfailkan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan, jika mahu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Pada 28 Disember lalu, Jabatan Peguam Negara dilapor berkata, keputusan Lembaga Pengampunan itu akan dibuat mengikut tatacara dan saluran ditetapkan berpandukan undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, pasukan pembelaan Najib akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan, sekiranya Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Menteri Kewangan itu.

“Kita tak akan biarkan kes ini (tanpa keputusan muktamad).

“Selepas keputusan rayuan (semakan kehakiman mengenai Titah Adendum) dimuktamadkan (di Mahkamah Persekutuan dan jika Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib), barulah kita akan teliti kebarangkalian lain, termasuk memfailkan permohonan pengampunan baharu,” katanya.

Kronologi pengampunan Najib

23 Ogos 2022: Rayuan Najib berkaitan kes SRC ditolak Mahkamah Persekutuan

1 September 2022: Najib memfailkan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16 melalui Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU)

18 Oktober 2022: Najib memfailkan adendum kepada permohonan pengampunan, memasukkan fakta dalam buku Tommy Thomas mengenai polemik pelantikan hakim dibuat tanpa mengikut undang-undang

20 April 2023: Najib memfailkan dokumen tambahan kedua kepada Ketua Pengarah BHEUU

4 Disember 2023: Najib menghantar surat peringatan mengenai permohonan pengampunan kepada Ketua Pengarah BHEUU

8 Disember 2023: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bersidang untuk kali pertama dengan tiada keputusan dimuktamadkan

29 Januari 2024: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bersidang sekali lagi dengan keputusan diumumkan pada 2 Februari 2024

29 Januari 2024: Yang di-Pertuan Agong Ke-16 membuat pengumuman mengenai perintah pertama dalam pengampunan kepada Najib

12 Februari 2024: Najib dimaklumkan mengenai Titah Adendum melalui saluran boleh dipercayai

1 April 2024: Semakan kehakiman mengenai Titah Adendum difailkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

3 Julai 2024: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman difailkan Najib

6 Januari 2025: Prosiding pendengaran rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Mahkamah Rayuan dekat Putrajaya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top