am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Sekurang-kurangnya 13 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Keda, Tanjung Dawai dekat Bedong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 30-an melecur pada kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Azhar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.28 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan diketuai Dr Rosdi Mat Yusof dihantar ke lokasi dibantu BBP Guar Chempedak serta BBP Sungai Petani selain bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
“Setibanya di lokasi mendapati terdapat 13 rumah kelas A dianggarkan musnah 80 peratus.
“Seorang lelaki melecur di bahagian kaki dan tangan sebelum dihantar ke hospital berhampiran oleh ambulans,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurutnya, Pos Kawalan Bomba (PBS) Tanjung Dawai diaktifkan dan operasi overhaul sedang dilakukan di lokasi setakat ini.
Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




