hifzuddin@bh.com.my
Jitra: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menangguhkan perbicaraan kes pembunuhan pesara kewangan Felcra Sabari Baharom pada 16 Februari depan.
Majistret Nurul Huda Idris membuat keputusan itu selepas mendapat permohonan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim sementara menunggu laporan penuh forensik dan kimia.
Pihak pendakwaan turut memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar mengikut bidang kuasa ditetapkan.
Keputusan mengenai pemindahan kes itu dijangka diumumkan pada tarikh sebutan semula akan datang.
Pada 17 Oktober lalu, kontraktor, Mazuan Hanafi, 38, dan anak saudaranya Muhd Asyraf Idris, 26, didakwa atas tuduhan membunuh Sabari, 62.
Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.
Tiada pengakuan direkodkan, dengan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Shafiqah Zainuddin.
Kedua-dua tertuduh ditahan pada 27 September lalu selepas kereta Proton Waja milik Sabari yang hangus ditemui di Kampung Pulau Belantek, Sik kira-kira 60 kilometer dari rumahnya.
Sabari yang tinggal bersendirian di Kampung Mengkuang Tengah, Kupang, Baling dilaporkan hilang pada 4 September lalu dan siasatan mendapati dia diculik dan dibunuh.
Suspek ditahan polis mengaku mengikat tangan Sabari, menutup mulutnya dengan pita pelekat dan membuangnya ke dalam Sungai Padang Terap.
© New Straits Times Press (M) Bhd
