khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan wujud cubaan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melepaskan kontena dipercayai mengandungi e-waste yang berada di Westports, Pelabuhan Klang pada Mei tahun lalu.
EAIC dalam kenyataan berkata, tindakan itu dibuat tanpa punca kuasa yang jelas dan justifikasi yang wajar.
“Pada sekitar Mei 2024, EAIC menerima maklumat yang menyatakan terdapat kemungkinan salah laku oleh pegawai JAS kerana memberi kebenaran untuk melepaskan kontena-kontena dipercayai mengandungi e-waste yang pada ketika itu berada di Westports, Pelabuhan Klang.
“Sehubungan itu, EAIC menubuhkan satu pasukan petugas selaras dengan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk menyiasat dakwaan salah laku pelepasan kontena-kontena itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendapati beberapa ketidakaturan berlaku iaitu pertama, kebocoran maklumat dalaman berkaitan pertukaran pengarah atau pegawai dan pengarah atau pegawai baharu akan melepaskan kontena itu.
“Keduanya, pihak atasan JAS gagal mengambil tindakan berhubung isu kebocoran maklumat ini.
“Ketiga, terdapat kelewatan penyelesaian kertas siasatan oleh JAS berkaitan dengan kontena-kontena tersebut yang juga berpunca daripada kelemahan penyeliaan.
“Keempat, kelewatan pengendalian kes berkenaan boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan pencemaran alam sekitar tidak dapat dibendung serta dilindungi dengan segera,” katanya.
Katanya, EAIC mengesyorkan tiga perkara iaitu tindakan tatatertib serta mengenakan hukuman yang sewajarnya terhadap pegawai JAS yang terbabit.
“Keduanya, mengemukakan cadangan penambahbaikan Prosedur Tetap Operasi (PTO) JAS dan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) JAS kepada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk tindakan selanjutnya.
“Ketiga, memanjangkan dapatan siasatan dan pengesyoran bersama-sama dengan laporan EAIC kepada Ketua Setiausaha Negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




