Perselisihan faham menjadi punca warga emas maut ditetak lelaki warga asing

Perselisihan faham menjadi punca warga emas maut ditetak lelaki warga asing

am@hmetro.com.my

Tawau: Lelaki warga emas maut dipercayai akibat ditetak menggunakan sebilah parang dalam kejadian di sebuah rumah kebun dekat Jalan Sing Ho, Merotai Besar dekat sini, petang semalam.

Mangsa yang juga warga tempatan berusia 66 tahun ditemukan maut dengan kesan tetakan di kiri dan kanan kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.45 tengah hari di Balai Polis Bombalai yang memaklumkan berlaku pergaduhan membabitkan antara suspek dan mangsa.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan Balai Polis Bombalai menuju ke lokasi kejadian sebelum melakukan tangkapan.

“Polis turut merampas sebilah parang iaitu senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menetak mangsa.

“Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Jasmin berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 33 tahun yang juga warga asing dan bekerja sebagai buruh ladang.

Katanya, motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham sebelum tercetus pertengkaran dan pergaduhan sehingga membawa kepada kejadian bunuh itu.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berada di Malaysia.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top