Jabatan Penjara tak terima titah tambahan benarkan Najib jalani baki hukuman di bawah tahanan rumah – Saifuddin Nasution

Jabatan Penjara tak terima titah tambahan benarkan Najib jalani baki hukuman di bawah tahanan rumah – Saifuddin Nasution

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebaliknya menegaskan pihak penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkaitan pengurangan hukuman dan denda membabitkan Najib.

“Pada 2 Februari 2024, KDN khususnya Jabatan Penjara menerima surat daripada BHEUU iaitu sekretariat dalam Lembaga Pengampunan dan dalam surat itu ada dua perkara, pertama disertakan minit mesyuarat dan kedua ialah perintah.

“Minit mesyuarat mengandungi semua perbincangan yang berlangsung (dalam Lembaga Pengampunan), itu saya tak boleh dedah sebab rahsia besar dan perintah pula ialah mengenai pengurangan hukuman ke atas Datuk Seri Najib seperti mana yang diketahui sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hari ini, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika berhujah mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan bekas Perdana Menteri itu bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mendedahkan Titah Adendum dan melaksanakannya.

Peguam kanan itu dalam hujahannya berkata, anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar mengetahui kewujudan dokumen titah bertarikh 29 Januari tahun lalu, pada 2 Disember tahun lalu melalui surat daripada istana di bawah arahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, berdasarkan perintah yang diterima ketika itu, Najib diberi pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta dan sekiranya tidak dibayar, tempoh penjara ditambah selama setahun dengan tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.

“Perintah itu ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

“Jadi surat yang Jabatan Penjara terima, tidak ada menyebut tahanan rumah dan sebagai jabatan yang melaksanakan perintah oleh Pengerusi Lembaga Pengampunan (Al-Sultan Abdullah), maka Jabatan Penjara harus amanah dalam melaksanakannya dan itulah yang kami laksanakan,” katanya sambil menunjukkan salinan surat perintah berkenaan.

Ditanya sama ada Istana Pahang ada berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai titah tambahan itu, Saifuddin sekadar memaklumkan tiada.

“Jadi mengatakan bahawa KDN khususnya Jabatan Penjara tidak patuh, tidak akur, dikatakan menyembunyikan apa-apa keputusan Lembaga Pengampunan, itu tidak tepat.

“Bagaimana kami nak melaksana (titah tambahan) jika kami tidak menerimanya,” katanya.

Ditanya pula sama ada minit mesyuarat terbabit ada menyentuh mengenai tahanan rumah kepada Najib, Saifuddin mengesahkan bahawa perkara itu tidak ada dalam dokumen berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top