mhafis@mediaprima.com.my
Kajang: Juruterbang kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menerima satu laporan polis di daerah Kajang berkaitan tipu pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian RM1,366,885 yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pengadu adalah juruterbang berusia 50 tahun yang tertarik dengan iklan pelaburan melalui laman sosial Instagram.
“Mangsa tidak dijanjikan pulangan secara spesifik dan hanya diberitahu untuk melabur sebanyak yang boleh bagi mendapatkan pelbagai faedah dan pulangan lebih tinggi.
“Mangsa diberikan satu pautan untuk ke laman sesawang oleh suspek dan diajar cara menggunakan aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, mangsa melakukan transaksi kemasukan wang dari Oktober 2024 sehingga Disember 2024 berjumlah RM1,366,885 melalui 34 kali transaksi ke dalam 10 akaun bank berlainan yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa hanya mendapat pulangan sekali saja iaitu sebanyak RM4,300 dari keseluruhan jumlah wang yang dilaburkan.
“Dia dimaklumkan oleh suspek untuk melakukan pengeluaran dari aplikasi di mana mangsa hanya perlu menekan ikon ‘withdrawal’ dan memasukkan amaun yang mahu dikeluarkan dan wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun dalam masa 24 jam.
“Namun selepas tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaunnya dan berasa tertipu, mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




