Telegram berjaya peroleh lesen beroperasi di Malaysia

Telegram berjaya peroleh lesen beroperasi di Malaysia

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyedia perkhidmatan pesanan Internet, Telegram berjaya memperoleh lesen untuk beroperasi di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) (C) itu diberikan kepada platform berkenaan pada 2 Januari lalu.

“Setakat hari ini, empat daripada enam platform yang kita sasar untuk didaftarkan iaitu ByteDance yang mengusahakan TikTok; WeChat yang diusahakan oleh Tencent; Meta yang mengusahakan Facebook, WhatsApp dan Instagram serta Telegram sudah mengemukakan dokumen.

“Sebelum ini, Tencent dan ByteDance sudah dapat lesen, manakala Telegram pula mendapat lesen pada Khamis lalu.

“Pihak Meta pula masih ada beberapa lagi dokumen yang mereka dalam proses untuk dihantar, namun kita jangkakan, ia akan selesai dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara SKMM dengan Kerajaan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Azhar Arshad.

Fahmi berkata, pihak X sedang mengesahkan jumlah pengguna platform berkenaan di negara ini dan proses itu akan mengambil sedikit masa.

“Saya serahkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk berbincang dan menguruskan (perkara berkaitan pihak X)

“Manakala bagi Google pula, saya juga sudah minta supaya pihak SKMM meneruskan libat urus,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi juga sedang meneruskan perbincangan dengan pihak YouTube berhubung isu sama.

“Pihak YouTube ada pandangan bahawa platform itu bukan media sosial. Tetapi kalau kita lihat YouTube Shorts sebagai contoh, elemen-elemen di dalamnya mirip TikTok.

“Jadi, ini adalah antara perkara yang kita sedang bincang dan ia akan mengambil sedikit masa dengan libat urus dilakukan berterusan,” katanya.

Pada Ogos 2024, SKMM memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas mengenai video iklan judi dalam talian yang berleluasa, Fahmi berkata, ketika ini, pihak SKMM perlu mengenal pasti setiap video berkenaan sebelum amaran dikeluarkan terhadap pengendali platform.

“Kita kena buat (kenal pasti video iklan judi dalam talian) satu demi satu ketika ini. Apabila Akta Keselamatan Dalam Talian, contohnya, diwartakan dan dikuatkuasakan, maka platform dengan sendirinya perlu mengambil tindakan yang lebih proaktif.

“Jadi, kita tidak perlu mengarahkan tetapi mereka (pengendali platform) yang perlu mengambil tindakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top