am@hmetro.com.my
Ipoh: Lebih 500 ahli Koperasi Sungai Tumboh Berhad di Seri Iskandar, Perak Tengah menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan terhadap tanaman sawit yang diusahakan mereka selama lebih 10 tahun lalu yang diratakan pemilik tanah.
Setiausaha Agung, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, unsur rasuah dan salah guna kuasa disyaki wujud apabila pemindahan hak milik tanah seluas 1,052 hektar itu kepada sebuah syarikat tidak melalui rundingan serta resolusi persetujuan ahli lembaga koperasi.
Katanya, arahan pengosongan itu didakwa berlandaskan satu perjanjian ditandatangani oleh kepimpinan teratas koperasi itu dengan sebuah syarikat yang membeli tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) itu menerusi Perjanjian Jual Beli (SPA).
Menurutnya, bagaimanapun SPA itu dianggap tidak sah kerana pihak terbabit bertindak atas tujuan peribadi tanpa persetujuan Ahli Lembaga Koperasi (ALK) justeru turut melanggar peraturan di dalam koperasi.
“Tiada suatu EGM (mesyuarat agung luar biasa) dibuat untuk bersetuju agar tanah itu dikosongkan, jadi sebab itu kita adukan kepada SPRM supaya siasatan dilakukan untuk melihat mengapa syarikat ini boleh masuk memusnahkan tanaman tanpa ada persetujuan ahli-ahli koperasi.
“Sekarang, gerakan tanah itu dinamakan pada PKNPk, namun isu sekarang adalah sepatutnya PKNPk datang berunding secara berhemah dengan pekebun kecil sebagaimana yang diminitkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sebelum berikan tanah itu.
“Namun tetapi penyelesaian berhemah itu tidak berlaku yang akhirnya menyebabkan tanah itu diratakan tanpa ada perintah mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika sidang media bersama lebih 200 pekebun kecil ahli koperasi itu di hadapan perkarangan Pejabat SPRM Perak, di sini, hari ini.
Menurutnya, pengosongan dan perataan tanah penanaman sawit itu yang mula dilaksanakan sejak 27 September lalu menyebabkan sekitar 600 ahli koperasi yang kebanyakannya dari golongan B40 serta pesara tentera hilang punca pendapatan.
Beliau berkata, syarikat pemaju terbabit didakwa memasukkan wang RM4 juta ke dalam akaun koperasi tanpa perbincangan dan persetujuan ahli, namun ahli sehingga kini tidak dimaklumkan mengenai penggunaan wang berkenaan.
Menurutnya, tapak alternatif bagi pekebun mengusahakan tanaman ditawarkan di Teluk Memali, Kampung Gajah bagaimanapun tidak dipersetujui memandangkan jenis tanah berpaya yang tidak membolehkan tanaman sawit dilaksanakan.
Sementara itu, Zainudin Norhan, 65, berkata, pelantikannya menerajui koperasi itu selaku pengerusi sejak sebulan lalu mendapati beberapa perbincangan serta mesyuarat yang diadakan pihaknya bersama PKNPk sehingga kini tidak disertai sebarang dokumen hitam putih.
“Setidak kena ada satu hitam putih, untuk senang rujukan dibuat, tetapi sehingga hari ini tiada apa-apa rujukan dan sedar-sedar saja tanah tanaman pokok sawit kami terpaksa dikosongkan. Saya minta notis, surat pelepasan pun tak bagi juga, sebaliknya dia kata (beri tempoh) hanya dua minggu saja.
“Kami seolah-olah dianaktirikan, sedangkan kami orang miskin. Jadi saya minta tolong kepada MHO supaya perkara ini dapat dibawa kepada SPRM agar siasat untuk kita heret siapa yang terbabit dalam perkara ini,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika menggulungkan perbahasan sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 5 Disember lalu ada menyentuh isu koperasi berkenaan yang disifatkannya sebagai wujud kemelut pertikaian dalaman.
Saarani sebelum ini berkata, kemelut dalaman koperasi berkenaan menyebabkan sebahagian daripada ahli-ahlinya mendakwa persetujuan yang sudah dicapai bersama pemilik tanah sebelum ini sudah tidak sah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




