Titah Adendum tak dibangkitkan ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan – Shamsul

Titah Adendum tak dibangkitkan ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan – Shamsul

ajohari@bh.com.my

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, diberitahu bahawa Titah Adendum tidak pernah dibincang ataupun dibangkitkan ketika Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, dalam hujahannya berkata, perintah utama dikeluarkan pada Februari tahun lalu ialah mengurangkan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak, dan ia adalah perintah yang sah serta muktamad.

Beliau berkata demikian pada prosiding rayuan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah supaya kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan Titah Adendum.

Shamsul mewakili Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM; serta Kerajaan Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa perintah utama itu telah bersetuju untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 kepada enam tahun, dan denda daripada RM250 juta kepada RM50 juta.

Katanya, perintah utama itu adalah satu-satunya yang ditandatangani dan dimeterai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mengurangkan separuh hukuman, (dan perintah itu) ditujukan kepada menteri ketika itu.

Shamsul menegaskan walaupun kerajaan tidak dapat menjawab afidavit terkini yang difailkan anak Najib, Datuk Mohamad Nizar, mahkamah tidak seharusnya membenarkan bukti tambahan itu diterima, kerana tiada usaha wajar dalam memastikan kesahihannya.

“Kami menyatakan bahawa permohonan untuk mengemukakan bukti baharu itu harus ditolak, kerana apa yang cuba dilakukan Najib adalah untuk melangkaui perintah utama (yang hanya mengurangkan separuh hukuman).

“Tambahan pula, terdapat isu bahawa perintah utama tidak boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman.

“Oleh itu, usaha mengemukakan keterangan tambahan itu tidak seharusnya diterima oleh mahkamah, termasuk apa yang didakwa ada dalam adendum, dan termasuk surat kepada Mohamad Nizar yang didakwa mendapat kebenaran daripada Istana Diraja Pahang mengenai kewujudan adendum itu,” katanya.

Sehubungan itu, Shamsul berkata, mahkamah juga harus menolak rayuan Najib dan juga permintaannya untuk memaksa responden mengemukakan adendum yang didakwa, kerana ia tidak memenuhi keperluan peruntukan undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top