nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang diiktiraf kerajaan sebagai rujukan utama bagi mengurus lebih 12 juta alamat di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta pemain industri geospatial tempatan bagi menjayakan misi NAS.
“Malaysia kini menghadapi cabaran besar dalam pengurusan alamat tidak berstruktur dan tidak seragam khususnya di luar bandar, kampung tradisional dan kawasan bandar yang padat.
“Ketiadaan sumber alamat diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama menyebabkan data alamat diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi yang membawa kepada kebergantungan teknologi luar.
“Untuk makluman, dianggarkan lebih RM700 juta dibelanjakan setiap tahun untuk perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara yang menyebabkan ketirisan pendapatan negara serta meningkatkan risiko pengurusan maklumat infrastruktur kritikal negara (NCII) akibat ketiadaan sistem alamat bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara SKMM dengan Kerajaan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Azhar Arshad.
Fahmi berkata, pelaksanaan NAS juga memerlukan kebergantungan kepada kaedah tradisional seperti mengenal pasti alamat berdasarkan warna bumbung rumah, nombor tiang elektrik atau tanda perbatuan.
“Harapan saya, NAS bukan sekadar projek teknologi tetapi juga asas kepada transformasi perkhidmatan awam, pengukuhan ekonomi digital dan peningkatan kesejahteraan rakyat.
“NAS bakal meningkatkan kecekapan serta memberi kesan kepada pelbagai aspek seperti tindak balas kecemasan, penghantaran logistik dan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Sementara itu, Abd Rauf berkata, inisiatif Kampung Digital akan membantu menyeragamkan alamat kira-kira 300,000 kediaman di 623 kampung tradisional di seluruh Melaka.
“Kerajaan negeri berjaya memperoleh kelulusan dana pembiayaan berjumlah RM3.37 juta menerusi keputusan Mesyuarat Penyelarasan Dana Pembiayaan SKMM pada 24 Julai 2024.
“Dengan adanya dana ini, ia akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menaik taraf Sistem Kampung Digital sedia ada secara menyeluruh.
“Antaranya adalah penambahan modul sistem, aplikasi mudah alih, integrasi sistem dan lain-lain keperluan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




