firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tunggakan gaji selama empat bulan menyebabkan pemain pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) yang beraksi di saingan Liga Super memboikot sesi latihan pasukan sejak bulan lalu.
Menurut sumber terdekat pasukan itu, tindakan memboikot latihan terpaksa dilakukan dan pemain hanya akan dikumpulkan pada hari perlawanan.
Memandangkan aksi berikutnya menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 10 Januari depan, pemain hanya menjalani latihan sendiri selepas tidak mampu untuk hadir ke padang latihan kerana ketiadaan wang.
“Sudah empat bulan gaji tidak dibayar oleh pengurusan kelab KDN FC. Pemain tidak menjalani latihan sejak bulan lalu kerana tidak mempunyai wang untuk ke padang latihan.
“Pihak pengurusan ada berjanji untuk membayar, namun selepas hampir seminggu sudah masuk tahun baru, bayang gaji pun tak nampak.
“Jadi apa yang boleh dibuat, pemain terpaksa berlatih sendiri dan akan cuba berkumpul pada hari perlawanan nanti dengan aksi terdekat adalah menentang Kedah di gelanggang lawan pada 10 Januari,” kata sumber yang boleh dipercayai itu.
Malah difahamkan, kehidupan pemain cukup tertekan kerana ada pemain dihalau dari rumah sewa serta dikejar pihak bank ekoran kegagalan melunaskan komitmen peribadi.
Isu boikot latihan bukan lagi perkara baharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) termasuk di kancah liga tertinggi negara iaitu Liga Super.
Kedah Darul Aman (KDA) FC antara pasukan terawal yang memboikot latihan sebelum ini selepas tidak dibayar gaji sejak awal musim ini.
Situasi lebih meruncing berlaku dalam divisyen bawahan di saingan Liga A1 Semi Pro yang menyaksikan hampir separuh pasukan tidak menjalani latihan ekoran masalah sama.
Menurut sumber, pemain belum membuat aduan rasmi kepada pihak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana masih memberi peluang untuk menyelesaikan isu itu.
“Pemain masih bagi peluang sehingga waktu yang telah ditetapkan.
“Jika masih gagal, pemain tidak teragak-agak melaporkan kepada pihak berwajib,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



