Tolong keluar dari premis kami

Tolong keluar dari premis kami

harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Mereka boleh bawa kami ke mahkamah, tetapi tolong keluar daripada premis kami,” kata Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kondominium Armanee Terrace, Parveen Sindhu.

Katanya, pelbagai reaksi timbul susulan keputusan pihaknya membawa isu membabitkan pengawal keselamatan di perumahan itu ke perhatian pihak media.

“Ramli Security Sdn Bhd akhirnya memberi maklum balas (kepada media) berhubung sebab keengganan mereka beredar dari premis.

“Sehingga ke hari ini pekerja mereka masih berada di premis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihak pengurusan syarikat berkenaan menyerahkan invois bagi bayaran bulan November dan Disember hanya selepas dihubungi pihak media semalam.

Katanya, invois itu diserahkan oleh penyelia syarikat berkenaan pada 3.46 petang.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, pihak JMB dan beberapa penduduk Kondominium Armanee Terrace membuat laporan menggesa polis mengambil tindakan ke atas syarikat Ramli Security Sdn Bhd kerana didakwa mengganggu urusan harian penduduk.

Syarikat berkenaan yang berkhidmat di perumahan itu sejak awal 2023 dilaporkan sudah ditamatkan kontrak pada 24 Disember lalu kerana prestasi kurang memuaskan.

Sementara itu, Pengarah Ramli Security, Datuk Seri Ramli Yusuff dilapor berkata, tindakan JMB menamatkan perkhidmatan syarikat itu secara notis 24 jam adalah tidak sah berdasarkan kontrak yang ditandatangani.

Beliau turut memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak JMB berkenaan berhubung permasalahan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top