Axiata Arena sekali lagi menjadi bualan ramai, tetapi kali ini bukan kerana aksi hebat di gelanggang, sebaliknya isu kebocoran bumbung.
Difahamkan, hujan lebat ketika perlawanan Badminton Terbuka Malaysia menyebabkan air menitis di kawasan gelanggang sehingga perlawanan dihentikan seketika.
Dalam satu kenyataan rasmi, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tampil memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.
Kenyataan rasmi daripada PSM

Jelasnya, kebocoran berpunca daripada kerja-kerja penggantian bumbung lama (yang dah digunakan sejak 1998) kepada yang baharu.
Proses penukaran bumbung ini bermula sejak pertengahan 2024 oleh kontraktor yang dilantik pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
Proses ini mengambil masa selama setahun menggunakan kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara. Setakat kerja-kerja tersebut dilakukan, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena.
Tindakan segera diambil

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PSM Encik Iliyas Jamil, tindakan pantas telah diambil selepas insiden tersebut berlaku.
Kerja-kerja kecemasan dilakukan untuk mengalihkan air dari gelanggang dan perlawanan dapat diteruskan sekitar jam 8 malam. Pihaknya sangat komited memastikan insiden ini tak akan berulang.
Jelas beliau lagi, seramai 10 kakitangan tambahan telah dihantar untuk memantau keadaan bumbung sepanjang kejohanan berlangsung.
Selain itu, JKR dan kontraktor telah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan yang berisiko sebagai langkah pencegahan.
Pihak PSM juga telah mengadakan mesyuarat dengan pihak JK Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember 2024 yang lalu dan menekankan kepentingan acara tidak terganggu dengan kerja penukaran bumbung ini dan telah diberi keyakinan bahawa pihak kontraktor akan membuat tindakan sewajarnya.
Jika masih ada kelewatan atau masalah, PSM tidak teragak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka.
#OhmediaNasihat
Kita harap ini kali terakhir isu macam ni berlaku kat Axiata Arena. Nama pun tempat acara bertaraf dunia, mestilah kena kalis bocor, kan? Apa pun, pujian patut diberikan kepada pihak PSM yang cepat bertindak. Kita doakan semuanya selesai dengan baik lepas ni!





