am@hmetro.com.my
Shah Alam: Peniaga kelapa warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM3,900 kepada seorang pegawai polis pada 1 Januari lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Salah Uddin, 34 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Salah Uddin didakwa secara rasuah memberikan suapan iaitu wang tunai RM3,900 kepada seorang Inspektor di Balai Polis Kuala Selangor sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas adiknya yang dipercayai melakukan kesalahan mencuri.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Salah Uddin didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Kuala Selangor pada 11 malam, 1 Januari lalu.
Pegawai Pendakwa Raya SPRM Mohd Alimi Mustapha dan Mohd Arif Asyraf Khairi tidak menawarkan jaminan susulan kesalahan dilakukan tidak boleh diikat jamin.
Katanya, tertuduh juga warganegara asing iaitu Bangladesh dan berisiko melarikan diri.
Peguam N Moganeysha bagaimanapun memohon anak guamnya dibenarkan ikat jamin kerana mempunyai dokumen perjalanan diri yang lengkap dan sah selain bekerja sebagai penjual kelapa di pasar awam.
Mahkamah menolak rayuan peguam dan menetapkan tertuduh ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Februari depan.
Media pada 3 Januari lalu melaporkan seorang lelaki warga Bangladesh direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menyogok anggota polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd