helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menuntut penjelasan dua pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi berhubung hasrat mereka untuk kembali berlatih di bawah bimbingan Mohd Poad Md Kassim.
Presiden KOM, Datuk SM Muthu, berkata badan induk itu tiada masalah untuk memberi ‘lampu hijau’ kepada kedua-dua atlet berkenaan kembali ke pangkuan bekas jurulatih mereka tetapi beliau mahu tahu punca sebenar keputusan itu dibuat.
“Kami boleh benarkan tetapi kami mahu tahu alasan atau sebab mahu menukar jurulatih. Apa istimewanya dia (Poad) dan adakah corak latihan Dwayne Miller tidak sesuai untuk mereka, kami perlu tahu untuk kami menambah baik.
“Pada masa sama, kami tidak mahu ini menjadi ikutan atlet lain untuk menukar jurulatih dengan mudah,” katanya kepada BH Sukan.
Sebelum ini, Khairul Hafiz yang diberi julukan ‘Speedy Jantan’ dan Haiqal mendedahkan mereka sudah menyuarakan hasrat untuk kembali berlatih bersama Poad yang dianggap sebagai watak penting dalam menaikkan kerjaya mereka.
Kedua-dua pelari yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 dan 2019 dalam acara 100 meter itu, berkata keputusan untuk kembali ke pangkuan jurulatih tempatan berusia 52 tahun itu sebagai langkah terbaik demi kemajuan prestasi dalam tempoh jangka panjang dengan aspek keserasian yang sudah terbina menjadi faktor utama.
KOM membuat keputusan menempatkan Khairul Hafiz dan Haiqal bersama semua atlet pecut elit kebangsaan secara berpusat di bawah kendalian pengarah teknikalnya, Miller di Bukit Jalil tahun lalu.
Muthu, berkata KOM turut akan memberi penjelasan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung isu ini tetapi menegaskan badan induk itu tidak boleh menghalang sekiranya ia dapat meningkatkan prestasi kedua-dua atlet berkenaan.
“Kalau mereka memang mahu tukar jurulatih, apa yang kita boleh buat? Demi kemajuan atlet itu, kami perlu memberi sokongan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




