Kempen Shop@Melaka sempena Aidilfitri, diskaun 85 peratus

Kempen Shop@Melaka sempena Aidilfitri, diskaun 85 peratus

bhnews@bh.com.my

AYER KEROH: Kerajaan Melaka menawarkan potongan harga istimewa kepada penduduk negeri itu yang membeli-belah di beberapa premis jualan sebagai persiapan menjelang Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, berkata potongan harga barangan sehingga 85 peratus ditawarkan kepada pembeli di premis terpilih menerusi kempen Shop@Melaka sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak tujuh pasar raya besar di negeri ini terbabit dalam kempen selama sebulan itu antaranya Freeport A’Famosa Outlet (FAO), Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan.

“Menerusi kempen itu, anak kelahiran Melaka boleh mendapatkan potongan harga sehingga 85 peratus, manakala penduduk yang lahir luar Melaka tetapi menetap di negeri ini pula boleh mendapat potongan harga 80 peratus.

“Kempen berkenaan bertujuan menggalakkan aktiviti beli-belah di premis yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya selepas merasmikan pakej berbuka puasa di Hotel MITC, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 100 anak yatim dari Pertubuhan Anak Yatim Sungai Udang (PAYASUM) diraikan oleh pengurusan hotel berkenaan.

Muhammad Jailani berkata, jika kempen berkenaan mencapai matlamat, pihaknya bercadang melanjutkannya sehingga selepas sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan tahap Prosedur Operasi Standard (SOP) di setiap hotel yang mengadakan majlis berbuka puasa di negeri ini.

“Bagaimanapun, saya meminta pengusaha hotel mempertingkatkan lagi tahap SOP di premis masing-masing sejajar dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top