Rakyat Malaysia rugi RM3.11 bilion angkara jenayah komersial

Rakyat Malaysia rugi RM3.11 bilion angkara jenayah komersial

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nilai kerugian membabitkan jenayah komersial di seluruh negara mencecah RM3.11 bilion sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kerugian itu membabitkan 41,701 kertas siasatan yang dibuka pada 2024.

“Kes penipuan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 37,240 dengan nilai kerugian melebihi RM2.45 bilion, pecah amanah (1,448 kes), kes along (1,060 kes), wang palsu (950 kes), jenayah siber (720 kes), pemalsuan (128 kes), salah guna harta (62 kes), VCD/DVD (2 kes), lain-lain (91 kes).

“Daripada 37,240 kes penipuan, sebanyak 35,368 kes atau 84.8 peratus adalah kes penipuan dalam talian yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, semalam..

Menurutnya, jumlah kerugian dicatat membabitkan pelbagai modus operandi penipuan dalam talian sepanjang tahun lalu melebihi RM1.57 bilion.

Katanya, modus operandi penipuan telekomunikasi mencatat kes tertinggi sebanyak 14,684 kes dengan nilai kerugian melebihi RM497.12 juta.

Ramli berkata, penipuan platform e-dagang mencatat 7,662 kes, pelaburan tidak wujud (6,337 kes), pinjaman tidak wujud (4,103 kes), jenayah e-kewangan (1,812 kes) dan love scam (770).

“Daripada kes-kes penipuan ini, kes penipuan pelaburan tidak wujud mencatat kerugian tertinggi lebih RM 847.62 juta, diikuti penipuan telekomunikasi (RM 497.12), e-dagang (RM70 juta), e-kewangan (RM65 juta), pinjaman tidak wujud (RM46 juta), dan love scam (RM45 juta),” katanya.

Menurutnya, dari aspek pertuduhan, sebanyak 16,813 kes atau 40.3 peratus kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tahun lalu manakala bakinya masih dalam siasatan.

Katanya, JSJK turut menekankan aktiviti pencegahan bertujuan untuk memberi informasi kepada masyarakat berkaitan ancaman jenayah komersial serta modus operandi terkini ‘scammer’.

Menurutnya, sebanyak 10,406 aktiviti pencegahan yang merangkumi pelbagai aktiviti termasuk kempen, pameran, ceramah, kolaborasi media dan sebagainya dilaksanakan sepanjang tahun lalu di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top