najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurugambar Imran mendedahkan kecederaan dialami pereka fesyen Razman dan Razmi yang didakwa dibuatnya berpunca kerana mereka membuat provokasi sehingga dia berasa terancam dan hilang sabar.
Menceritakan kejadian yang berlaku, Imran atau nama sebenarnya Muhammad Imran Khairil berkata, kejadian itu berlaku selepas Razman datang ke arahnya terlebih dahulu.
“Saya datang ke majlis itu atas urusan kerja. Jadi ketika saya mengambil gambar untuk acara itu, saya terserempak dengan mereka dan wujudnya provokasi sehingga saya rasa terancam.
“Sudah tentulah saya rasa tergugat dan ketika Razman datang ke arah saya dengan reaksi wajah yang menjengkelkan saya pun tanpa sengaja ‘terlepas’.
“Kemudian tiba-tiba Razmi pula bersuara dan mengeluarkan kata-kata kesat hingga menyebabkan dia turut menerima perkara sama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Imran, dia menyangkal beberapa tuduhan yang dikeluarkan Razman dan Razmi berhubung isu hutang yang didakwa ada membayar secara ansuran dan berjanji untuk membayar baki duit yang masih dihutang.
“Dulu kami baik. Waktu itu saya belum ada kereta hanya memiliki motosikal saja. Jadi saya beli kereta Suzuki Swift milik Razmi walaupun dijual pada harga agak mahal.
“Tapi atas dasar kawan dan percaya, saya beli kereta itu dengan harga RM20,000 dan membayar secara ansuran sebelum memilikinya.
“Tapi hari pertama memandu kereta itu sudah meragam dan semput. Saya ada saksi yang bersama pada waktu itu.
“Jadi tuduhan mendakwa saya sudah menggunakan beberapa minggu dan merosakkan kereta sebelum minta wang dikembalikan adalah tidak benar.
“Sepanjang lima tahun saya minta duit dikembalikan, mereka baru bayar sebanyak RM3,300 saja. Bayaran pertama RM3,000 setahun selepas saya minta kerana nak pergi umrah manakala RM300 dibayar hujung tahun lalu. Jadi bila masa dia bayar secara ansuran sepanjang tempoh itu,” katanya.
Dalam masa sama, Imran memberitahu dia akan membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu yang dibuat pereka fesyen itu di Balai Polis Ampang, di sini hari ini.
Terdahulu Imran yang tular memukul dua pereka fesyen di ruang legar sebuah hotel, di sini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan di Mahkamah Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Imran membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Farah Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan dilarang mendekati dan menganggu mangsa.
Tarikh 28 Februari ini ditetapkan sebutan semula kes.
Semalam media melaporkan, seorang lelaki ditahan polis akibat tindakannya menyerang dan mencederakan dua pereka fesyen di ruang legar sebuah hotel sekitar Petaling Jaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




