norhayati_nordin@hmetro.com.my
SELAIN aktif dalam kerjaya seni, selebriti serba boleh, Ifa Raziah, 49, turut menceburi bidang keusahawanan sebagai pengasas ekspo jualan barangan dikenali Starvendors Mega Raya.
Giat dijalankan sejak bertahun lalu, ekspo jualan barangan sempena musim Aidilfitri itu sama sekali memberi peluang kepada selebriti dan orang ramai yang berminat berniaga.
Namun, menariknya penganjuran ekspo jualan barangan dikendali oleh pasukan Ifa itu apabila pembabitan pengacara untuk memeriahkan acara mengetengahkan rakan baiknya.
Bagi Starvendors Mega Raya 2025 ini yang berlangsung di dua lokasi, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang membabitkan hos dipilih seperti Watie Sadali, Roslan Shah, Rudy Syareme dan bakat muda dikenali sebagai Affan.
Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha berkata, dia suka bekerja dikelilingi sahabat yang baik dengannya kerana masing-masing sudah tahu cara kerja sesama sendiri.
“Sejak dulu, saya terbiasa berkongsi rezeki dengan kawan sebab seronok dapat bekerja dengan mereka sebagai orang yang kita kenal baik dan rapat.
“Macam persahabatan saya dan Roslan Shah, kami saling kenal dan berkawan sejak 1998. Ketika itu, saya dengannya giat membina karier seni, termasuk segala susah dan senang bersama.
“Tapi, yang ‘best’ kami tidak pernah lupa antara satu sama lain. Umpama, kalau saya dapat tawaran persembahan daripada penganjur, mesti nama Roslan pun ada.
“Macam itu jugalah dengan Roslan, mesti dia letak nama saya. Soal bayaran, kami berdua boleh dibawa berbincang dan memahami bajet penganjur asalkan setimpal,” katanya.
Menurut Ifa, dia dan Roslan biasanya diminta menyanyi berduet dan mereka sering mendendangkan lagu dangdut, Memori Daun Pisang nyanyian asal Iwan dan Amelina.
“Apa-apa pun, selepas perselisihan faham selama tujuh tahun itu, saya dan Roslan ada ego kami. Sebab perasaan marah dan kecewa kami tidak mengikuti akaun media sosial masing-masing. Haluan persahabatan pun beralih arah.
“Tapi, rasa rindu pada persahabatan itu tetap ada. Cuma, hati kami tidak lagi digerakkan Allah untuk memaafkan. Sekarang, alhamdulillah syukur kami saling mengakui kesilapan dan terbuka hati bermaaf-maafan,” katanya.
Menurut Ifa, sebuah kemaafan baginya adalah titik terindah dalam kehidupan apabila ia dibuat secara ikhlas dan itu dirasakannya ketika bersedia memaafkan Roslan serta mahu berbaik semula.
“Kini, harapan saya agar persahabatan antara kami tidak lagi ada sengketa dan berkekalan hingga akhir hayat. Syukur kepada Allah kerana sudah membuka pintu hati kami dengan kemaafan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




