Jumpa tepi lebuh raya, terus berkawan

Jumpa tepi lebuh raya, terus berkawan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bermula dengan sapaan ketika bertemu secara tidak sengaja di tepi lebuh raya, siapa sangka Muhammad Syakirin Zulkifli dan pemuda Cina dikenali Leo boleh menjadi rakan tidak sampai 24 jam.

Bukan setakat itu, kedua-dua pemuda berkenaan juga tiada masalah keluar bersama termasuk duduk semeja untuk makan walaupun baru berkenalan.

Detik pertemuan dan gelagat mereka ketika keluar bersama itu dapat dilihat menerusi perkongsian video Muhammad Syakirin, 23, di TikTok.

Menerusi video berdurasi satu minit 59 saat itu, kelihatan Muhammad Syakirin dan Leo tidak kekok keluar bersama malah bersembang seakan sudah lama kenal dengan satu sama lain.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Syakirin dari Kepong, di sini berkata, video itu dirakam pada 25 Disember lalu dan bukan lakonan sebaliknya memang kejadian sebenar yang berlaku hari berkenaan.

“Selepas keluar rumah, saya tak tahu nak ke mana jadi tunggang motosikal tanpa hala tuju namun selepas melalui Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), saya ternampak Leo di tepi jalan.

“Jadi saya terus berhenti dan menegurnya yang ketika itu seorang diri sambil memegang telefon bimbit.

“Mulanya dia terkejut kemudian okay dan nampak mesra. Seterusnya, saya tanya dia nak ke mana dan katanya ke rumah kawan di Melaka. Saya pula terus beritahu Leo nak ikutnya sama menunggang motosikal dari belakang dan dia okay saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Setibanya di Melaka, Muhammad Syakirin mengikut Leo mengambil seorang rakannya yang tinggal dekat Klebang sebelum mereka pergi mencari makanan dan tempat berjalan.

“Sebenarnya, ada cerita lucu kerana waktu sampai rumah rakannya (rakan Leo) baru saya sempat tanya siapa nama Leo.

“Hari itu, kami keluar bertiga dan sempat berjalan di sekitar Jonker Walk, Melaka River Floating Market dan singgah makan dekat sebuah restoran.

“Waktu makan, macam-macam perkara yang kami sembang dan saya tiada masalah nak berborak dengan Leo kerana sudah biasa kerana ada kawan rapat bukan Melayu.

“Leo pun fasih cakap bahasa Melayu jadi okay saja dan selesai berjalan, kami pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah malamnya. Tapi selepas pertemuan itu, kami masih berhubung dan saya ada ajak dia jumpa serta ‘ride’ bersama jika ada kelapangan,” katanya.

Muhammad Syakirin berkata, selain menjadikan kenangan, video itu dimuat naik di TikTok bagi menunjukkan perbezaan kaum dan agama bukan halangan untuk menjadi sahabat.

“Saya fikir video itu ada mesej positif jadi apa salahnya kongsi untuk buka mata terutama mereka yang ada persepsi negatif terhadap kaum lain.

“Melihat ruangan komen, kebanyakan reaksi yang saya terima positif dan ramai kata lelaki senang buat kawan.

“Jadi saya harap video perkongsian saya itu menjadi bukti rakyat di negara ini boleh saja bergaul dan bekerjasama dengan kaum lain tanpa masalah selagi faham serta menghormati satu sama lain. Itu yang akan mewujudkan perpaduan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top