CSOIAM: “Apa Jadi Dengan Awak Ni?” – Yusry & Ziana Beri Kritikan Tajam Kepada Rezza Shah, Menyesal Beri Imuniti?

CSOIAM: “Apa Jadi Dengan Awak Ni?” – Yusry & Ziana Beri Kritikan Tajam Kepada Rezza Shah, Menyesal Beri Imuniti?

Peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Rezza Shah menerima kritikan tajam barisan juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim dan Ziana Zain semasa konsert minggu keempat yang bertemakan Sinergi Muzik, sebentar tadi.

Walaupun persembahan medley lagu Kembali Merindu nyanyian asal Slam dan Seragam Hitam nyanyian asal Kristal berjaya menghiburkan penonton, komen pedas kedua-dua juri mencetuskan suasana tegang di Studio ntv7, Glenmarie.

Rata-rata tergamam melihat Rezza ditegur secara terbuka serta meluahkan rasa terkejut.

Yusry mengakui rasa kesal kerana menyelamatkan Rezza daripada tersingkir pada minggu pertama.

“Persembahan awak setiap minggu ada jadi, ada tak. Juri tahu masalah disiplin awak di luar, terus terang saya katakan, saya menyesal bagi imuniti dekat awak.

“Peluang patut bagi kepada peserta lain yang sudah terkeluar, saya harap semua orang berdisiplin. Walaupun suara awak sedap, tapi disiplin sangat penting,” kata Yusry.

Dalam pada itu, Ziana pula menyifatkan persembahan Rezza sebagai yang paling mengecewakan setakat ini.

“Apa jadi dengan awak? Ini adalah minggu awak paling teruk, dari hari pertama masuk sini awak dah kena fokus. Juri sekarang pecah kepala kena fikir, tempo dalam nyanyian lari.

“Menyanyi tiada semangat, saya tak rasa langsung tenaga awak. Awak nyanyi macam nak tak nak sahaja. Tak ada semangat, tolong jadi serius,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi juti tetap, Cakra Khan, turut menegur kelemahan Rezza, yang menurutnya kelihatan penat dan kurang bertenaga.

“Saya dengar suara kamu memang terlihat penat. Tempo itu mempengaruhi sekali untuk persembahan pembuka acara ini. Saya harap kamu boleh lebih baik daripada ini,” kata Cakra.

Sebelum ini, Rezza mencetuskan kontroversi apabila diselamatkan dengan imuniti juri pada minggu pertama, meskipun hampir tersingkir dari pertandingan.

Scroll to Top