'Saya menyesal bagi imuniti' – Yusry

'Saya menyesal bagi imuniti' – Yusry

najiy.jefri@hmetro.com.my

s

Shah Alam: Minggu keempat program realiti Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) mencuri perhatian apabila persembahan pembukaan daripada peserta, Rezza Shah menerima teguran keras daripada juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim dan Ziana Zain.

Yusry menyatakan dia kesal kerana pernah memberikan imuniti kepada Rezza untuk menyelamatkannya daripada penyingkiran pada minggu pertama CSOIAM.

Selain itu, dia turut mendakwa peserta terbabit menghadapi masalah disiplin di luar pentas.

“Persembahan anda setiap minggu ada jadi, ada tak. Juri tahu masalah disiplin awak di luar. Terus terang saya katakan, saya menyesal bagi imuniti dekat awak.

“Peluang patut bagi kepada peserta lain yang sudah terkeluar, saya harap semua orang berdisiplin. Walaupun suara awak sedap, tapi disiplin sangat penting,” katanya ketika memberikan komen.

Ziana pula menyifatkan ini adalah persembahan terburuk Rezza sepanjang empat minggu CSOIAM berlangsung.

“Apa jadi dengan awak? Ini adalah minggu awak paling teruk. Dari hari pertama masuk sini awak dah kena fokus. Juri sekarang pecah kepala kena fikir, tempo dalam nyanyian lari.

“Menyanyi tiada semangat, saya tak rasa langsung tenaga awak. Awak nyanyi macam nak tak nak sahaja. Tak ada semangat, tolong jadi serius,” katanya.

Komen lantang daripada daripada Yusry dan Ziana menjadi tamparan hebat buat Rezza, meskipun persembahannya pada minggu keempat yang bertemakan Sinergi Muzik mendapat sorakan kuat daripada penonton di studio.

Suasana tegang itu mengejutkan penonton di Studio TV3, Glenmarie, yang kelihatan tergamam dengan kritikan pedas dan kekecewaan terhadap peserta berusia 23 tahun itu.

Dalam pada itu, juri tetap dari Indonesia, Cakra Khan dalam komennya menyifatkan suara Rezza kedengaran penat.

“Saya dengar suara kamu memang terlihat penat. Tempo itu mempengaruhi sekali untuk persembahan pembuka acara ini. Saya harap kamu boleh lebih baik daripada ini,” katanya.

Menerusi konsert minggu keempat CSOIAM, Rezza menyampaikan lagu Kembali Merindu nyanyian asal Slam dan Seragam Hitam (Kristal) secara medley.

Terdahulu, pada konsert minggu pertama terdapat ‘drama’ terjadi apabila Rezza yang pada awal tersingkir diselamatkan dengan ‘imuniti’ daripada ketiga-tiga juri tetap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top