Ini sebab pemain Arsenal pakai jersi putih

Ini sebab pemain Arsenal pakai jersi putih

London: Jika anda menonton perlawanan Arsenal menentang Manchester United pada pusingan ketiga Piala FA, semalam, anda mungkin perasan pasukan pelawat memakai jersi biru, tetapi Arsenal mengenakan pakaian serba putih.

Jersi serba putih itu adalah jersi khas No More Red, sebahagian daripada inisiatif yang dilancarkan kelab London Utara itu pada Januari 2022.

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mencegah kekerasan terhadap anak muda.

Pasukan lelaki dan wanita Arsenal memakai jersi serba putih itu dalam perlawanan Piala FA untuk menyokong kempen berkenaan.

Adidas, penaja jersi Arsenal, berkata: “Kami sangat berbangga sudah memasuki tahun keempat kempen No More Red.

“Matlamat kami adalah menjadikan sukan sebagai sumber komuniti dan kesejahteraan untuk semua. Bekerjasama dengan Arsenal, rakan kongsi kami, serta belia yang melakukan perkara hebat dalam komuniti mereka, adalah pengalaman yang memberi inspirasi.”

Jersi itu sebelum ini dipakai semasa perlawanan menentang Nottingham Forest, Oxford dan Liverpool dalam saingan Piala FA.

Namun, jersi berkenaan tidak dijual secara komersial, sebaliknya ia diberikan kepada sukarelawan yang meluangkan masa mereka untuk kerja-kerja amal kelab.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top