Teater akhir Milol Tahar

Teater akhir Milol Tahar

syafil.syazwan@hmetro.com.my

PEMENTASAN teater tempatan sentiasa hadir dengan daya tarikan tersendiri selain jalan cerita dan konsepnya.

Terbaharu, teater muzikal, Dhendam Tresno yang bakal dipentaskan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) Februari ini turut mempertaruhkan keunikannya tersendiri.

Pengarah, Milol Tahar berkata, cabaran utama adalah dari sudut kewangan dan masa memandangkan majoriti anggota produksi terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti.

“Persiapan teater muzikal ini mengambil masa tiga hingga empat bulan bagi proses lakonan, tarian, muzik dan juga artistik. Cabaran yang dihadapi adalah dari sudut kewangan dan juga masa.

“Disebabkan hampir keseluruhan anggota produksi terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti, jadual perlu disusun atur agar semua dapat menjalani latihan.

“Produksi ini 100 peratus dianjurkan oleh Lantera Seni Venture sempena sambutan ulang tahun ke-10 dalam industri kesenian dan kebudayaan.

“Lantera Seni bukan saja sebuah kumpulan kesenian yang selalu mengiringi artis-artis tanah air dalam persembahan, tetapi juga sebuah syarikat yang sentiasa aktif dalam pelbagai bidang seni,” katanya.

Membabitkan 11 pelakon, 34 ‘ensembles’ dan 40 anggota produksi, teater muzikal Dhendam Tresno mengisahkan mengenai seorang penari wanita yang bernama Ratna Ajeng Gadis Rah Acintya.

Namun, konflik timbul apabila perkahwinan mereka mendapat tentangan beberapa pihak sehingga pelbagai percubaan dilakukan untuk meruntuhkan rumah tangga mereka.

Dhendam Tresno adalah teater muzik pertama arahan Milol dan mejadi filem ke-32 arahannya. Ini juga bakal menjadi pengakhiran buat Milol dalam dunia pengarahan teater.

“Selama 10 tahun berada dalam bidang teater, saya banyak belajar mengenai sesuatu yang tidak saya dapat secara formal. Saya perlu memahami setiap daripada manusia yang hadir dalam hidup saya.

“Kehilangan seseorang sangat memberi kesan kepada sesiapa pun manusia di dunia ini. Saya merasakan diri saya sudah terlalu taksub mengejar cita-cita dan impian untuk menjadi anak seni yang mahukan sesuatu sehingga dipandang dan dikenali oleh masyarakat.

“Pelbagai perkara yang saya cuba untuk menjadikan diri saya sebagai anak seni, tetapi bidang pengarahan juga yang akhirnya menjadi kekal dan sebati dalam diri saya.

“Tetapi, apabila sudah mencapai pelbagai tahap jatuh bangun dan berjaya, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya mementingkan perkara yang jauh sudah saya lupakan seperti keluarga dan juga kerohanian,” katanya.

Menurutnya yang juga pensyarah, dia ingin terus memberikan bakti kepada industri dengan melahirkan bakat-bakat baharu dalam dunia teater.

“Dalam tempoh 10 tahun pengalaman saya menjadi pengarah teater, saya rasa sudah cukup puas dengan segala pengalaman itu. Biarlah saya menjadi seseorang yang membentuk bakat-bakat baharu. Setiap hari akan ada generasi yang baharu pula akan lahir dalam bidang seni,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top