Zheng mangsa pertama Terbuka Australia

Zheng mangsa pertama Terbuka Australia

Melbourne: Zheng Qinwen menjadi pemain pilihan pertama terkeluar dalam saingan Terbuka Australia selepas juara Olimpik itu dikejutkan oleh Laura Siegemund manakala pilihan utama Aryna Sabalenka bergelut dengan cuaca buruk pada pusingan kedua sebelum mara.

Jessica Pegula, yang tewas kepada Aryna pada final Terbuka AS tahun lalu turut mara bersama-sama juara Olimpik Tokyo, Belinda Bencic yang meneruskan perjuangan.

Zheng dari China berusaha untuk mengikuti kejayaan rakan senegaranya Li Na pada 2014 di Melbourne Park tetapi harapannya musnah di Arena John Cain, di mana Laura pemain bukan pilihan dari Jerman mencatatkan kemenangan menakjubkan 7-6(3) 6-3.

Pilihan kelima itu meninggalkan gelanggang dalam keadaan sugul dan dilihat seperti mahu menangis manakala pemain ke-97 dunia Laura tersenyum lebar selepas merangkul kemenangan bersejarah itu.

“Saya tahu saya hanya perlu bermain aksi perlawanan tenis terbaik saya, anda tidak akan rugi jadi saya memberitahu diri saya untuk beraksi dengan bebas,” kata Laura di gelanggang.

“Dia seorang pemain yang hebat, dia antara pemain terbaik sekarang. Tetapi saya tahu saya boleh bermain dan saya mahu menjadikannya satu pertarungan yang sukar.”

Sementara itu Zheng berkata ia bukan harinya.

“Saya mempunyai banyak peluang untuk menang di set pertama tetapi anda tahu pada masa itu mungkin tumpuan saya tidak ada.

“Pada masa yang sama, saya rasa dia bermain dengan sangat baik. Ia adalah tenis, tidak lebih,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top