Cuaca sejuk beri kesan kepada Soon Huat-Shevon

Cuaca sejuk beri kesan kepada Soon Huat-Shevon

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengakui cuaca sejuk di Stadium Tertutup KD Jadhav Indoor, New Delhi membuatkan mereka perlu cepat menyesuaikan diri agar boleh menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan di Terbuka India.

Jelas Shevon, perkara itu memberi sedikit kesan di awal permainan mereka pada pusingan pertama, namun dia memuji Soon Huat kerana cepat dan bijak mengawal gelanggang dengan cemerlang.

“Kami masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di sini. Ia sedikit berbeza dengan cuaca di Eropah.

“Pada mulanya, ia sedikit mempengaruhi cara kami bermain. Pemanasan badan kami lebih lama sedikit kerana di Malaysia lebih mudah, namun di New Delhi ia lebih mencabar.

“Saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang hari ini, tetapi pasangan saya (Soon Huat) sangat cepat menyesuaikan diri. Saya perlu memanaskan badan lebih cepat ketika itu,” katanya.

Soon Huat turut bersetuju keadaan cuaca mampu mempengaruhi rentak permainan termasuk dari segi kelajuan bulu tangkis.

Namun disebabkan wakil Indonesia, Rinov Rivaldi-Lisa Ayu Kusumawati adalah pasangan yang baru digandingkan, ia memberi kelebihan buat beregu negara itu mengambil kesempatan dalam perlawanan mereka, hari ini.

“Mereka adalah pasangan baru dan ini adalah kejohanan pertama mereka, jadi mereka masih menyesuaikan diri.

“Kami mempunyai lebih banyak pengalaman dan menggunakan kelebihan itu,” katanya.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu membuka kempen Terbuka India dengan mengalahkan Rinov Rivaldi-Lisa Ayu straight set 21-17, 21-17 dalam masa 35 minit.

Menanti mereka di pusingan kedua esok adalah pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi yang turut layak selepas mengetepikan satu lagi beregu profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien 21-17, 21-15.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top