hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menahan pasangan suami isteri yang juga pemilik agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kegagalan menerbangkan jemaah umrah ke Makkah semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua individu berusia 31 tahun ditahan selepas polis menerima tujuh laporan yang dibuat mangsa membabitkan kerugian RM100,000.
“Hasil siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak 2022 dan berpindah di sebuah premis di Sepang pada Oktober 2024.
“Modus operandi yang digunakan oleh suspek untuk memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi Tik Tok tentang pakej umrah dan berhubung dengan ejen yang dilantik oleh syarikat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa komputer, pasport dan dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ranai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan terutama di media sosial untuk pengesahan lanjut kesahihan syarikat yang menawarkan pakej umrah,” katanya.
Terdahulu sidang media yang bermula tenang, bertukar kecoh dan tegang apabila ada jemaah yang tidak bersetuju dengan tawaran dikemukakan agensi umrah terbabit.
Kebanyakan jemaah menuntut dibayar wang pampasan segera.
Bagaimanapun peguam yang mewakili syarikat itu ketika sidang media itu berlangsung, memaklumkan syarikat akan membuat surat aku janji (letter of undertaking) yang menawarkan tiga penyelesaian.
Antara penyelesaian yang ditawarkan ialah pemulangan wang 100 peratus yang akan dibuat dalam tempoh di antara tiga hingga empat minggu.
Bagi jemaah yang masih ingin meneruskan ibadah umrah, syarikat itu akan membuat penjadualan semula tiket penerbangan serta pemberian wang RM5,000 sebagai kos bayaran penginapan jemaah sepanjang tempoh terkandas ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




