Melaka: Kerajaan Melaka mengesan cubaan mempromosikan ajaran sesat menggunakan nama ‘The Ahmadi Religion Peace and Light’ di negeri itu susulan pemasangan kain rentang mengenai ajaran tersebut di jejantas Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Peringgit Jaya di sini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa pada 3 Oktober tahun lalu menfatwakan ajaran itu sebagai sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.
“Sebelum ini Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung individu yang mengamalkan ajaran itu sehinggalah hari ini kita dikejutkan dengan pemasangan kain rentang berkaitannya.
“JAIM amat memandang serius perkara ini selain tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan ajaran sesat ini yang boleh menimbulkan provokasi selain mengganggu-gugat keharmonian masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau turun padang meninjau lokasi kain rentang itu bersama Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat.
Rahmad berkata kain rentang tertera tulisan ‘Abdullah Hashem Adalah Al-Mahdi Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’ dipercayai dipasang di jejantas itu malam tadi dan telah diturunkan pagi tadi.
Beliau berkata JAIM juga akan membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan individu yang bertanggungjawab.
“Saya menyeru kepada mereka yang terlibat supaya kembali ke jalan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jaamah (ASWJ) dan sekiranya memerlukan bimbingan, JAIM sedia untuk memberi bimbingan kepada mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



