ajohari@bh.com.my
Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan pendakwaan yang mengaitkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai syarikat yang ditubuhkannya.
Bekas perdana menteri itu berulang kali menegaskan bahawa 1MDB pada asalnya adalah syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang diambil alih Kerajaan Persekutuan pada 25 September 2009.
Katanya, ia bukan idea beliau untuk menubuhkan syarikat itu, yang berperanan mencari pelaburan tenaga baharu untuk negara.
“Saya bantah (tindakan pendakwaan mengaitkan) ia sebagai ‘baby’ saya.
“Jangan kaitkan saya dengan 1MDB sebagai ‘baby’ saya, anda tidak boleh mengaitkan ia sebagai ‘baby’ saya. Saya tidak bertanggungjawab dengan penubuhannya.
“Ini saya tidak boleh terima,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam pada sesi pemeriksaan balas dalam perbicaraan skandal penyelewengan 1MDB.
Mohamad Mustaffa: Tetapi 1MDB adalah jenama Datuk Seri.
Najib: Ya, tetapi asal usul 1MDB bukan begitu. Anda membuat sindiran tertentu dengan kenyataan ini.
Mohamad Mustaffa: Yang Arif, Saya serahkan kepada penghujahan.
Terdahulu, rakaman audio suara Najib dan seorang lelaki yang dikatakan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak dimainkan di mahkamah.
Najib bagaimanapun menegaskan rakaman sulit Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu melanggar hak asasinya sebagai perdana menteri dan sebagai warganegara.
“Ini adalah rakaman haram yang saya tidak selesa dengannya, sebagai perdana menteri anda mempunyai rakaman perbualan dengan ketua negara lain.
“Saya tidak boleh mengesahkan perbualan ini untuk memastikan kesahihannya, ini adalah pelanggaran serius terhadap hak saya.
“Ia benar-benar menjengkelkan… anda tahu. Sumber rakaman itu sangat membingungkan,” katanya.
Berdasarkan rakaman itu, Mohamad Mustaffa menyoal Najib sama ada beliau mengarahkan bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin bertemu Khaldoon di Abu Dhabi bagi menyelesaikan isu mengenai anak tirinya, Riza Aziz dan menangguhkan proses timbang tara antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Najib menafikan dakwaan itu dan menjawab, ia adalah isu berasingan.
Sementara itu, Najib turut menafikan beliau menerima sebarang khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh mengenai isu yang timbul dalam syarikat itu khususnya mengenai kebimbangan berhubung usaha sama antara 1MDB dengan Petrosaudi.
Najib berkata, beliau berharap supaya Mohd Bakke berjumpa dengannya sebelum mengambil keputusan untuk meletak jawatan daripada syarikat itu.
Mohamad Mustaffa: Apabila beliau mengemukakan peletakan jawatannya, kenapa datuk seri tidak menghubunginya?
Najib: Beliau hendak letak jawatan, jadi beliau letak jawatan. Mengapa anda menyalahkan saya pula?
Mohamad Mustaffa: Datuk Seri tidak bertanya alasannya?
Najib: Dia mengenali saya secara peribadi. Dia boleh datang kepada saya. Kenapa saya harus dipersalahkan atas keputusan orang lain?
Dalam perbicaraan sebelum ini, Mohd Bakke memberitahu mahkamah, beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah selepas merasakan Najib terbabit dalam salah laku kewangan dan sesuatu tidak kena sedang berlaku di luar pengetahuannya.
Mohd Bakke berkata, ia disebabkan SMS yang dihantar kepada Najib yang menyatakan mengenai kebimbangan berhubung hal ehwal syarikat pelaburan strategik negara itu, tidak mendapat maklum balas daripada Najib.
Menurut Mohd Bakke, dalam SMS berkenaan, beliau memberitahu Najib bahawa terdapat beberapa perkara yang diarahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah kepada pihak pengurusan syarikat, bagaimanapun arahan berkenaan tidak dipatuhi, bagaimanapun Najib tidak membalas SMS berkenaan.
Katanya, beliau tidak terlintas untuk melaporkan mengenai salah laku itu kepada pihak berkuasa kerana mengandaikan sudah berbuat demikian melalui SMS kepada Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang dijalankan di Istana Kehakiman, di sini bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




