Renungan tajam 'menakutkan' lawan suntik motivasi Li Jane

Renungan tajam 'menakutkan' lawan suntik motivasi Li Jane

Sepang: Selepas dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, pemain boling negara, Sin Li Jane melihat renungan tajam ‘menakutkan’ daripada lawannya sebagai petanda positif yang menjadi motivasi untuk dia terus cemerlang dalam sukan ini.

Li Jane, 33, yang akan bersaing dalam musim penuh Jelajah Boling Eropah untuk kali kedua tahun ini, menyatakan keinginannya untuk meneroka lebih banyak peluang dan mendorong beliau melangkah lebih jauh dalam sukan ini.

“Semasa beraksi pada Piala Dunia baru-baru ini, saya dapat merasakan mereka panik melihat saya.

“Walaupun kami pesaing, kami sahabat, jadi dari satu segi, ia sesuatu yang baik kerana menjadikan persaingan bertambah sengit.

“Selepas ini, terdapat banyak lagi kejohanan dan saya akan menyertai Jelajah Boling Eropah sekali lagi.

“Bagi saya, menang atau kalah bukanlah sesuatu yang saya boleh kawal kerana dalam setiap pertandingan, pasti ada pemenang dan yang kalah serta hanya ada seorang juara.

“Secara peribadi, saya hanya mahu memberikan persembahan terbaik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Ditanya kejayaan membantu pasukan Wanita memperbaiki warna pingat daripada gangsa kepada perak pada Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2025, beliau berkata ia adalah kejohanan paling kompetitif pernah disertainya dengan semua pemain bertarung sehingga bola terakhir.

“Bagi saya, walaupun Stadium Queen Elizabeth, Hong Kong venue baharu, ia tidak terasa asing kerana saya sudah biasa bermain di pelbagai lorong.

“Pada November ini, Kejohanan Dunia pula akan berlangsung di venue sama, tetapi corak peminyakan belum diumumkan.

“Mungkin ia akan dikeluarkan kira-kira sebulan sebelum kejohanan,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, pasukan wanita diterajui Li Jane, pemain nombor satu Asia bersama Natasha Mohamed Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim, kalah 195-214, 222-211, 176-198, 220-210, 180-211 kepada AS di final Piala Dunia IBF.

Dalam edisi sebelumnya pada 2022, pasukan wanita meraih pingat gangsa selepas menewaskan AS 3-2 dalam perlawanan penentuan pingat.

Pada 2022, struktur kejohanan diubah untuk memberi fokus kepada perlawanan berpasukan dan memperkenalkan pertandingan berpasukan, beralih daripada format asal yang hanya melibatkan pertandingan individu sejak 1965.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top