am@hmetro.com.my
Ipoh: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, hari ini menutup kes mereka selepas memanggil 33 saksi.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bahawa pendakwaan menutup kesnya selepas saksi terakhir, pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan S Dasarathan, 46, selesai memberi keterangan.
Bhupindar Singh memerintahkan pihak pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis pada 14 Mac ini dan pihak pendakwaan pada 11 April.
Beliau juga menetapkan 14 April untuk sebutan semula melalui Zoom untuk menentukan tarikh hujahan lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan tertuduh, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak Mohd Nazri daripada pertuduhan itu atau memerintahkannya membela diri.
Afzainizam memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan tujuh saksi kepada pihak pembelaan termasuk pegawai sains kriminalistik, Farah Ad-Din Nordin; pegawai sains asid deoksiribonukleik (DNA), Nor Alfarizan Mokhtaruddin; pegawai sains toksikologi, Wan Noor Mahirah Majidin; pegawai siasatan forensik makmal, Asisten Superintendan Mohamad Nizam Husain dan tiga kanak-kanak.
Dalam perbicaraan selama 23 hari bermula pada 4 November 2024 itu, seramai 33 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk bapa dan kakak Zaharif.
Pihak pendakwaan turut diwakili Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui, manakala Mohd Nazri diwakili peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Mohd Nazri, 46, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




