Tidak boleh jadi rujukan selesai masalah agama

Tidak boleh jadi rujukan selesai masalah agama

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) hanya boleh dijadikan sebagai sumber awalan untuk memahami isu dan tidak boleh dijadikan asas dalam semua perkara terutamanya isu agama.

Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, orang awam tidak boleh menjadikan AI sebagai rujukan utama menyelesaikan sesuatu masalah agama.

Beliau berkata, orang awam tetap memerlukan bantuan tokoh agama, meskipun teknologi AI dapat digunakan sebagai alat bantu dalam memahami beberapa aspek asas agama.

“Sekiranya seseorang itu bergantung pada teknologi AI, dibimbangi pemahaman agama akan tersasar daripada kebenaran.

“Sebagai contoh, tokoh agama memiliki kemampuan untuk memahami teks hukum dan ajaran agama dalam konteks yang tepat.

“Teknologi AI, meskipun canggih, ia hanya dapat memberikan jawapan berdasarkan data tanpa memahami konteks yang sebenarnya,” katanya.

Mohd Sukki berkata, teknologi AI mungkin dapat menemukan ayat al-Quran yang relevan, tetapi tidak dapat memberikan tafsir atau penjelasan hukum yang sesuai dengan situasi seseorang.

Beliau berkata, tafsir memerlukan ilmu mendalam dan pemahaman konteks yang hanya dapat difahami oleh para ulama dan tokoh agama.

“Dalam konteks autoriti, sudah tentu tokoh agama mempunyai autoriti dalam hal ehwal yang berkaitan dengan agama seperti jawatankuasa fatwa negeri berbeza dengan teknologi AI yang tidak mempunyai autoriti untuk memberikan sesuatu fatwa atau keputusan agama.

“Selain itu, tokoh agama tidak hanya bertindak memberikan pengetahuan, tetapi juga berperanan untuk memberikan bimbingan moral, spiritual, dan emosional,” katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, asas mendapat ilmu dalam Islam ialah melalui guru yang diyakini dapat membimbing seseorang ke arah ilmu yang benar dan sahih.

“Penggunaan teknologi AI ini ada batasannya dan perlu mendapat pengesahan daripada orang yg berilmu dalam bidang berkenaan.

“Kebergantungan semata-mata kepada AI dalam ilmu agama boleh membawa kekhilafan dalam memahami urusan agama.

“Bimbingan daripada guru yang benar adalah sangat diambil berat dalam Islam dan Ibnu Sirin diriwayatkan berkata bahawa ilmu ini adalah agama, maka hendaklah engkau perhatikan daripada siapa kamu mengambil agama kamu,” katanya.

Selain itu, Mufti Pahang Prof Madya Datuk Dr Asmadi Mohamad berkata, penggunaan teknologi AI bagus untuk melihat pandangan yang ada namun setiap pandangan diberikan perlu disaring kerana boleh mengandungi maklumat tidak tepat atau mengelirukan.

Beliau berkata, masyarakat seharusnya tidak bergantung sepenuhnya kepada platform berkenaan dan proses belajar memerlukan pertanyaan kepada pakar sekali gus meluruskan kefahaman dalam aspek agama.

Jawapan AI hanya halusinasi penuhi input carian pengguna

Pendedahan tentang literasi teknologi sangat penting khususnya kepada pengguna untuk mengelakkan sebarang bentuk ‘gangguan’.

Platform Kecerdasan Buatan (AI) ini tidak boleh menjadi ‘rujukan utama’ kepada pengguna memandangkan setiap respons berkenaan tidak dapat ditentukan kesahihannya dan ia bukan pihak yang mempunyai autoriti agama.

Penggunaan tanpa literasi akan mengakibatkan teknologi berkenaan disalahgunakan terutamanya jika menyentuh aspek respons persoalan agama menerusi platform AI.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, platform AI ini tidak boleh sama sekali menggantikan peranan manusia khususnya jika menyentuh aspek permasalahan agama.

“Agama Islam ini disampaikan menerusi guru kepada guru, platform AI ini hanya berperanan sebagai alat bantu saja dan kita tidak boleh meletakkan kepercayaan mutlak kepada platform ini. “Tambahan pula, isu AI ini sering terkait dengan masalah halusinasi yang sehingga kini belum dapat diselesaikan.

“Halusinasi dalam platform AI ini bermaksud respons AI berkenaan adalah direka oleh platform itu sendiri demi untuk memenuhi input carian pengguna,” katanya.

Siraj berkata, pengguna perlu lebih bertanggungjawab dan tidak menjadikan platform AI ini sebagai jalan pintas atau rujukan mutlak kepada pengguna.

“Jika menyentuh soal persoalan agama, ia sangat kompleks dan memerlukan keupayaan manusia untuk memberikan satu hukum yang sejajar dengan konteks.

“Platform AI ini hanya boleh memberikan rumusan sesuatu tetapi tidak dapat mengaitkan hukum dengan konteks semasa sekali gus bimbang wujud salah tafsiran yang membawa kepada kerosakan akidah seseorang,” katanya.

Dalam aspek agama, katanya, orang awam perlu mendapatkan rujukan daripada pihak berautoriti yang sudah pastinya bukan platform AI.

Ilmu terpesong tok guru AI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top