am@hmetro.com.my
Sungai Besar: Polis mengesahkan menahan seorang lelaki berpakaian seperti mumia yang berjalan kaki di jalan Panchang Bedena menghala ke pekan Sungai Besar, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Robin Guha Thakurta berkata, polis mengesan perkara itu menerusi video yang tular di laman sosial, kira-kira 10 pagi.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan individu berusia 25 tahun itu di Parit 6.
“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mengalami masalah gangguan mental,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Robin berkata, polis kemudian membawa individu itu ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut dengan ditemani oleh waris.
Beliau mengingatkan orang ramai terutama pengguna media sosial supaya terus menghubungi polis untuk menyalurkan maklumat dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam.
Terdahulu, seorang individu yang berjalan kaki dalam keadaan berbalut seperti mumia, menimbulkan tanda tanya kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya, hari ini.
Difahamkan, gelagatnya dilihat bersahaja dengan muka yang tidak kelihatan berjalan di tengah jalan raya tanpa mempedulikan keselamatan sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




